Sepanyol tumbangkan Itali, mara 16 terbaik
JUARA edisi Poland/Ukraine 2012, Sepanyol layak ke pusingan 16, Euro 2024 dengan berbaki satu perlawanan selepas menewaskan Itali 1-0 dalam aksi dominan La Roja.
Gol sendiri oleh Bologna Riccardo Calafiori pada minit 55 menjadi titik perbezaan antara kedua-dua pasukan di Stadium Veltins-Arena, Gelsenkirchen dalam perlawanan berprofil tinggi edisi Jerman 2024.
Biarpun begitu, kemaraan angkatan Luis de la Fuente dengan menewaskan Azzurri, anak didik Luciano Spalletti tidak menggambarkan prestasi sebenar Sepanyol seperti ketika membenam cabaran Croatia dalam perlawanan pembukaan sebelum ini.
Nico Williams merupakan watak penting Sepanyol ketika mengucar-ngacirkan pertahanan Itali yang diterjemahkan Calafiori dengan menyumbat gol ke gawangnya sendiri.
Keputusan itu menyaksikan anak buah De la Fuente mengumpul enam mata sempurna di kedudukan teratas kumpulan sebelum menentang Albania di Dusseldorf Arena pada Selasa.
Bagi Itali, kekalahan itu ujian realiti Euro 2024 selepas bermula baik dengan kemenangan 2-1 ke atas Albania di Stadium Signal Iduna Park.
Itali selepas ini akan berdepan Croatia di Stadium Red Bull Arena Leipzig dalam perlawanan terakhir pada Selasa.
Pertarungan La Roja-Azzurri juga mengimbau memori perlawanan akhir edisi Poland/Ukraine 2012, yang menyaksikan Sepanyol berteraskan Tiki Taka menumpaskan Itali 4-0.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!