Kayuhan barakan Jubli Perak UiTM
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah tersendiri pada 2024 apabila bakal menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam pada 26 Ogos 1999.
Bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan tersebut, UiTM melancarkan Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun UiTM bertemakan Menuju Kelestarian Alam Sekitar.
“Program kayuhan ini melibatkan 30 petugas dan pengayuh, yang terdiri daripada 12 pengayuh staf akademik dan pentadbiran serta empat pengayuh dari kalangan pelajar.
“Mereka akan mengayuh sejauh 2,000 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia, tidak termasuk Sabah dan Sarawak, dalam tempoh dua minggu bermula dari 20 Jun hingga 2 Julai.
“Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM,” ujar Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Raduan Che Ros selepas merasmikan Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun UiTM.
Jelas Raduan lagi, kapsul ini akan dipahatkan di sebuah monumen yang akan dibina dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos depan.
“Ia melambangkan impian dan harapan pengurusan serta seluruh warga UiTM untuk melihat universiti ini terus gemilang pada 25 tahun akan datang.
“Kayuhan ini turut mendapat penyertaan istimewa daripada pemangku Raja Perlis
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk program kayuhan UiTM Prihatin di UiTM Perlis pada 28 Jun.
“Acara kemuncak adalah kayuhan penutup Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang akan mengayuh dari UiTM Puncak Alam ke UiTM Shah Alam pada 2 Julai,” kata Raduan.
Tambah Raduan lagi, Kayuhan ini juga mengangkat matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 3, 11, 13 dan 17 yang bertujuan melestarikan alam sekitar.
“Kerjasama ini disambut baik oleh pihak Pulau Banding Foundation (PBF), yang turut serta sebagai penganjur bersama program,” ujarnya.
INFO
Hari pertama kayuhan dari UiTM Shah Alam hingga UiTM Cawangan Negeri Sembilan turut disertai Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Shahrin @ Sahib Sahibuddin, yang akan menyertai pasukan kayuhan untuk beberapa destinasi cawangan.
Di setiap cawangan mengadakan Mini Sambutan 25 Tahun UiTM melibatkan komuniti setempat, alumni, seluruh warga kampus, kerajaan negeri dan pihak istana negeri.
Program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan ini bukan sahaja menandakan sambutan ulang tahun ke-25 UiTM, tetapi juga mencerminkan komitmen UiTM terhadap kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!