Perluas ganjaran wang tunai kepada pelapor kes rasuah

Pemberian ganjaran berbentuk wang kepada pelapor rasuah dalam nilai yang besar dibimbangi akan menghakis integriti dan kualiti perkhidmatan terutamanya golongan penjawat awam. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Pemberian ganjaran berbentuk wang kepada pelapor rasuah dalam nilai yang besar dibimbangi akan menghakis integriti dan kualiti perkhidmatan terutamanya golongan penjawat awam. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Pendekatan untuk memperluaskan pemberian ganjaran wang ringgit kepada pelapor kes rasuah dalam sektor awam dan swasta disifatkan sebagai langkah baharu dalam membendung jenayah berkenaan.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peningkatan insentif dapat mendorong lebih ramai penjawat awam dan pemberi maklumat membuat laporan mengenai rasuah.

Menurutnya, pengumuman Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa terdapat rancangan memperluaskan skim ganjaran bagi mendedahkan rasuah dalam perkhidmatan awam harus dipuji.

“Ini boleh membawa kepada pembentukan kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab dan menjadi asas bagi tadbir urus baik.

“Selain menjadi penghalang kepada rasuah, ia juga mampu mengukuhkan kedaulatan undang-undang dan mendapat kepercayaan awam serta meningkatkan reputasi antarabangsa sekali gus menarik lebih ramai pelabur asing,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 514 penjawat awam sudah diberi ganjaran berjumlah lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana melapor dan mendedahkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.

Azam Baki berkata, pemberi maklumat kepada kerajaan bakal diberi ganjaran sama sepertimana tawaran suapan yang diterima kerana membantu dalam membanteras jenayah tersebut.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diumumkan pada Mei lepas, skim sama boleh diperluaskan kepada masyarakat, namun ia masih di peringkat cadangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Lam Thye memberitahu bahawa langkah berkenaan akan menjadi petanda baik dan menyedari beberapa kemungkinan kelemahan supaya tindakan awal boleh diambil.

“Perlunya garis panduan ketat bagi definisi rasuah yang boleh dilaporkan dan laporan layak untuk diberi insentif supaya laporan palsu atau remeh dapat diminimumkan.

“Kita juga mesti menyedari kemungkinan bahawa penekanan berlebihan terhadap pelaporan boleh mewujudkan suasana tidak percaya dalam kalangan kakitangan yang membawa kepada kejatuhan semangat dan mengganggu kerja berpasukan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 514 penjawat awam sudah terima ganjaran lapor kes rasuah

Sementara itu, beliau berkata, pemberi maklumat memerlukan perlindungan yang lebih besar dan mungkin sesetengah daripada mereka memerlukan sokongan psikologi dan undang-undang.

“Kita mesti meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan melaporkan rasuah dan langkah disediakan untuk melindungi serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat melalui platform media tradisional dan sosial yang lebih mantap.

“Dengan mewujudkan sistem yang seimbang dan adil, kerajaan boleh mengukuhkan usaha memerangi rasuah dan meningkatkan keyakinan orang ramai,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!