Islam tidak remehkan pengorbanan bapa
Ayah ibarat tunjang dalam kehidupan manusia, bimbing dan didik kita jadi insan berguna
DALAM sebuah riwayat masyhur ada memerihalkan tentang kedudukan seorang ibu yang dilebihkan berbanding bapa dari sudut berbuat kebaikan kepadanya.
Pun demikian, ia bukanlah bermakna kita boleh meremehkan dan menidakkan jasa seorang bapa yang tidak kurang pentingnya.
Memperbetulkan silap faham itu, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Jamali Mohd Adnan menjelaskan, al-Quran yang menjadi panduan hidup manusia tidak mengabaikan aspek pengorbanan seorang ayah.
Buktinya, kisah Nabi Yaakub AS yang disakiti ahli keluarganya dengan kehilangan anaknya sendiri, Nabi Yusuf AS dirakamkan dalam kitab suci umat Islam itu.
“ALLAH SWT merekodkan ujian dan kesedihan yang dialami oleh Nabi Yaakub AS sebagai seorang ayah dalam al-Quran untuk menunjukkan bahawa pengorbanan seorang bapa juga tidak boleh diabaikan.
“Malah, kecederaan perasaan seorang bapa yang dilukakan oleh zuriat sendiri bukan suatu yang mudah diubati walaupun baginda merupakan nabi,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Masakan tidak, bapa merupakan figura penting dalam sesebuah keluarga.
Beliau menyifatkan, bapa ibarat tunjang dalam kehidupan manusia yang membimbing dan mendidik kita menjadi insan berguna.
“Seorang ayah hanya menginginkan anaknya menjadi insan terbaik dan mampu memperjuangkan agama serta kehidupan ini.
“Demi anak juga, ayah sanggup berhujan panas, mengerah sepenuh kudrat dan tenaga demi mencari sesuap nasi dan sentiasa mendoakan terbaik untuk anak-anaknya, selain seboleh mungkin enggan melukakan hati permata hati mereka,” terangnya.
Ketahuilah bahawa bapa sama tarafnya dengan ibu dan doa mereka juga mustajab secara umumnya, kata Ustaz Jamali.
Jika ibu mengandung, melahirkan dan menyusukan kita, ayah pula bertanggungjawab mendidik, membesarkan dan memberi nafkah kepada anak-anak, ungkapnya.
“Kesusahan membanting tulang empat kerat untuk kebahagiaan anak-anak itulah suatu yang ALLAH SWT iktiraf hingga doanya khusus untuk zuriat mereka pun diterima oleh ALLAH SWT.
“Buat mereka yang masih ada ayah lagi mahupun sudah tiada, jangan lupa sentiasa mendoakan mereka. Apa yang kita lakukan sebagai anak soleh tidak lain tidak bukan adalah daripada didikan ibu dan ayah yang menginginkan kebaikan buat diri kita.
“Sudah pasti pahala yang kita lakukan sampai kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia,” ujarnya.
Tanggungjawab ketua keluarga
Walaupun segelintir orang menganggap watak bapa kurang menonjol lantaran kebanyakan ibu pada hari ini bekerja, Ustaz Jamali mengingatkan, tanggungjawab sebagaimana disebut dalam nas yang digalas di atas pundak mereka tidak akan terhenti sehingga nyawa terpisah daripada jasad.
Selepas seorang lelaki berkahwin dan dikurniakan rezeki cahaya mata, katanya, mereka diamanahkan untuk memberi nafkah halal dan berkat kepada isteri serta anak-anaknya mengikut kemampuannya.
“Meskipun isteri bekerja, mempunyai harta dan pendapatan sendiri, para ulama bersepakat, kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami.
“Kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya terlepas sekiranya pasangan mereka reda dan mengizinkan ketua keluarga itu tidak memberikan nafkah sewajarnya,” katanya.
Bukan itu sahaja, agamawan itu menjelaskan, suami juga bertanggungjawab untuk memberi didikan agama yang baik kepada keluarganya.
“Ia bertepatan dengan suruhan ALLAH SWT dalam al-Quran yang menyuruh mereka memelihara diri dan tanggungan masing-masing daripada azab api neraka.
“Didikan dimaksudkan adalah kewajipan mendirikan solat, membaca al-Quran dan lain-lain,” katanya.
Dilepaskan daripada api neraka
Menyambung hujahnya, Ustaz Jamali kemudian mengajak kita untuk menyelami kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang menjadi antara tokoh seorang ayah perlu diteladani.
Bayangkan baginda dikurniakan anak, Nabi Ismail AS saat usianya telah lanjut dan rambutnya sudah mula memutih.
Kemudian terpaksa pula berpisah dengan anaknya di bumi yang tandus dan kontang semasa masih kecil.
Selepas lama terpisah dan bertemu semula dengan puteranya, sekali lagi baginda diuji apabila bermimpi ALLAH SWT memerintahkannya mengorbankan Nabi Ismail AS. Semuanya dilakukan demi ketaatannya kepada Sang Pencipta.
“Pengajaran penting daripada kisah Nabi Ibrahim ini adalah pengorbanan seorang ayah yang perlu didasari oleh keimanan dan ketaatan kepada ALLAH SWT.
“Sayangnya baginda kepada keluarga juga kerana-NYA. Jadi apabila disebut tentang pengorbanan bapa, sudah tentulah ia termasuk dari segi harta, kekuatan, emosi dan kasih sayang,” katanya.
Tidak hairanlah mengapa terlalu banyak imbalan yang dijanjikan buat seorang ayah yang mengorbankan banyak perkara demi keluarga tercinta kerana ALLAH SWT, terangnya.
Antaranya DIA menjanjikan pahala yang besar khususnya dalam bab memberi nafkah, bahkan ALLAH SWT juga memuji bapa yang berusaha mendidik anak-anaknya menjadi zuriat soleh.
“Di samping itu, keredaan ALLAH juga bergantung kepada keredaan ibu bapanya dan DIA juga mengurniakan pahala tidak terkira dengan kesabaran mereka mendidik anak-anaknya, selain dilepaskan daripada api neraka,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!