Tidak ada pasukan yang lebih bagus daripada Sepanyol
PENGENDALI Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan pasukannya adalah yang paling terbaik pada Euro 2024 selepas mempamerkan prestasi cemerlang untuk menewaskan juara bertahan Itali 1-0 pada Jumaat dan layak ke pusingan 16 terakhir.
"Saya gembira dan bangga bukan hanya dengan keputusan menentang pasukan hebat, penyandang juara Eropah, tetapi dengan cara kami memenanginya. Tetapi, saya akui ini adalah pertandingan yang sangat sukar.
"Lawan mengetahui keupayaan anda dan jadi sangat sukar untuk memenangi pertandingan seperti ini.
"Saya fikir tidak ada pasukan yang lebih baik daripada kami dan hanya perlu terus bekerja serta bermain seperti yang pernah kami lakukan," kata De la Fuente kepada pemberita selepas gol sendiri Riccardo Calafiori menjadi penentu kemenangan perlawanan Kumpulan B di Gelsenkirchen.
Sepanyol mendominasi perlawanan di Arena AufSchalke dan dengan mudah menang dengan kelebihan lebih besar.
Keputusan itu bermakna juara Eropah tiga kali itu meraih enam mata daripada dua kemenangan dan sudah pasti untuk menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan teratas sebelum perlawanan terakhir mereka menentang Albania.
"Bola sepak adalah fizikal tetapi ia juga mengenai teknik dan taktikal. Kami berasa lebih hebat dalam setiap aspek, tetapi kami masih boleh meningkat.
“Saya fikir ia sudah pasti perlawanan terbaik daripada 17 perlawanan yang telah saya kendalikan, paling lengkap,” katanya.
"Jelas sekali saya sangat gembira tetapi kami belum selesai. Kami perlu kekal konsisten dan tidak kehilangan prestasi ini," katanya.
Keletihan punca tewas kepada Sepanyol - Spalleti
Sementara itu pengendali Itali, Luciano Spalleti mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik termasuk pemain yang keletihan ketika tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi Euro 2024 pada Jumaat.
Sepanyol mengungguli Kumpulan B dengan satu perlawanan berbaki dan sepatutnya boleh menang dengan jaringan lebih besar dengan sembilan percubaan tepat ke sasaran daripada 20 percubaan berbanding Itali daripada hanya empat percubaan sepanjang 90 minit.
"Ia adalah keputusan yang layak memihak kepada Sepanyol. Kami tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan itu.
“Selain 20 minit terakhir perlawanan, kami tidak pernah dapat mencipta situasi yang membolehkan kami benar-benar bersaing dengan Sepanyol.
"Mereka mendatangkan masalah lebih besar daripada apa yang kami sangkakan," katanya.
Spalletti turut berkata, pemain Itali tidak dapat menandingi Sepanyol yang dilihat cukup bertenaga dan mereka perlu pulih sebelum perlawanan seterusnya menentang Croatia.
"Mungkin saya perlu memberi mereka lebih banyak rehat, lebih banyak hari cuti dan kami memberi mereka cuti sehari setengah rehat dan kami melihat itu adalah keputusan yang tepat.
"Tetapi terdapat terlalu banyak jurang, kami mungkin tidak pulih dengan baik terutama untuk menghadapi kejohanan besar sebegini.
"Secara keseluruhan, jika anda tidak mempunyai stamina yang sama seperti lawan, jelas anda tidak boleh melakukan perkara dengan tahap yang sama," katanya.
Itali mesti mengelak kekalahan kepada Croatia dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menjamin tempat ke pusingan seterusnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!