Bas ekspres jatuh gaung 50 meter, dua warga Itali antara terselamat
LAHAD DATU - Dua pelancong warga Itali antara 18 penumpang yang terlibat dalam kemalangan bas ekspres terbabas ke dalam gaung di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu-Tawau pada malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.11 malam itu, dua wanita berusia 22 dan 36 tahun mengalami kecederaan parah manakala 17 lagi termasuk pemandu hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bas ekspres tersebut telah terbabas ke dalam gaung ketika dalam perjalanan dari arah Semporna.
"Hasil siasatan mendapati ketika kejadian, bas dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun membawa 18 penumpang termasuk dua pelancong warga Itali.
"Dalam kejadian itu, pemandu dan 16 penumpang telah mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi wanita mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua mangsa termasuk pemandu telah dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Sampel darah pemandu bas juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan ujian alkohol dan dadah.
"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987.
"Bagaimanapun, jika ada pihak yang menyaksikan kejadian ini boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 atau boleh ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu terus," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.40 malam.
Menurutnya, seramai 20 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Bas membawa penumpang dikatakan telah hilang kawalan lalu jatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter. Keadaan gaung memang cerun.
"Namun sebaik bomba tiba di lokasi, sebahagian mangsa telah keluar dengan sendirinya dari bas tersebut manakala mangsa yang cedera juga telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital," katanya.
Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 11.30 malam selepas keadaan lokasi kejadian selamat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!