Abu Zayd Al-Balkhi figura penting psikologi Islam

Cendekiawan Muslim tersohor itu terkenal dengan jolokan bapa psikologi dunia, pakar psikologi kognitif pertama

SEHINGGA ke hari ini, jasa dan sumbangan Abu Zayd Al-Balkhi masih ditekuni dan menjadi rujukan ramai terutamanya dalam bidang psikologi.
SEHINGGA ke hari ini, jasa dan sumbangan Abu Zayd Al-Balkhi masih ditekuni dan menjadi rujukan ramai terutamanya dalam bidang psikologi.
A
A
A

APABILA Abu Zayd Al-Balkhi mengkritik pengamal perubatan pada zamannya mengabaikan aspek psikologi pesakit dan terlalu fokus kepada simptom penyakit fizikal, ramai yang tidak mengendahkannya.

Sedangkan hasil penemuannya mendapati, terdapat perkaitan reaksi emosi seperti kemurungan dan fobia yang boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh manusia.

Ini kerana pada abad kesembilan ketika itu, penyakit mental dianggap ada hubungan dengan perkara mistik, manakala penyakit jiwa pula dianggap sebagai tabu.

Selepas 1,200 tahun, 'teguran' Abu Zayd Al-Balkhi itu kini menjadi penting apabila dunia pada hari ini melahirkan bukan sahaja doktor, tetapi juga pakar psikologi, ahli terapi dan kaunselor bagi menyokong kesejahteraan hidup manusia.

Menjejaki salasilahnya, laman web About Islam menjelaskan, pemilik nama penuh Abu Zayd Ahmed Ibnu Sahl Balkhi dilahirkan pada tahun 849 Masihi di wilayah Balkh, Afghanistan.

ABU ZAYD AL-BALKHI kini diiktiraf sebagai individu pertama mengklasifikasikan, mendiagnosis dan mencadangkan rawatan berfungsi secara tepat untuk penyakit psikiatri.
ABU ZAYD AL-BALKHI kini diiktiraf sebagai individu pertama mengklasifikasikan, mendiagnosis dan mencadangkan rawatan berfungsi secara tepat untuk penyakit psikiatri.

“Ayahnya merupakan seorang guru. Abu Zayd Al-Balkhi membesar dan tinggal di Baghdad selama lapan tahun sebelum Daulah Abbasiyah merosot, katanya dipetik menerusi scribd.com.

Artikel Berkaitan:

Meskipun keadaan negara itu kacau-bilau, namun figura hebat itu tetap mendedikasinya usianya untuk melanjutkan tradisi ilmu hingga menjadi intelektual Muslim disegani yang memperkenalkan psikologi Islam dan neurosains.

Malah, beliau juga merupakan pelopor dalam bidang psikologi kognitif dan medik, selain menjadi individu pertama membezakan antara penyakit saraf dan sakit jiwa.

Bahkan menurut scribd.com, Abu Zayd Al-Balkhi juga antara terawal mengklasifikasikan gangguan saraf dan perintis terapi kognitif.

Tidak hairanlah namanya sentiasa meniti di bibir sehingga terkenal dengan bapa psikologi dunia dan pakar psikologi kognitif pertama dunia.

Malah, anak didik kepada cendekiawan Islam ulung Al-Kindi itu turut menghasilkan mahakarya Masalih al-Abdan wa al-Anfus yang masih ditekuni sehingga ke hari ini.

Menurut laman web Islam Itu Indah, monumental agung itu masih tersimpan rapi di Perpustakaan Hagia Sophia di Istanbul, Turkiye.

Pelopor ‘penyakit’ OCD

Menerusi artikel disiarkan oleh International Institute of Islamic Thought, kitab yang disifatkan menakjubkan itu memerihalkan tentang perubatan psikologi.


ANTARA peta dilakarkan oleh Abu Zayd Al-Balkhi yang sememangnya turut mempunyai kepakaran dalam bidang geografi.
ANTARA peta dilakarkan oleh Abu Zayd Al-Balkhi yang sememangnya turut mempunyai kepakaran dalam bidang geografi.

“Abu Zayd Al-Balkhi membincangkan beberapa idea yang sangat moden, berabad-abad mendahului zamannya tentang kepentingan mental dan fizikal untuk kesejahteraan hidup manusia.

“Pandangan genius dan kreatif beliau tentang psikopatologi manusia serta diagnosis penyakit psikologi termasuk kemurungan, ketakutan, kebimbangan, fobia dan gangguan obsesi, bersama-sama rawatan terapi tingkah laku kognitif selari dengan psikologi moden.

“Malah, beliau turut menggabungkan dimensi lebih besar dengan memasukkan elemen jiwa dan paling utama adalah ibadah kepada ALLAH, di samping menerangkan gejala dan pemberian rawatan serta nasihat tentang langkah-langkah pencegahan dan cara mengembalikan badan serta jiwa kepada keadaan sihat semula jadi,” katanya sebagaimana dipetik daripada iii.org.

Persatuan Psikologi Amerika menyifatkan karya agung Abu Zayd Al-Balkhi sebagai refleksi sejarah warisan intelektual Islam yang menyumbang kepada bidang yang kita panggil sebagai psikologi pada hari ini.

Salah satu penemuan pentingnya, Abu Zayd Al-Balkhi sebenarnya ialah pelopor kepada penyakit Gangguan Obsesif Kompulsif atau lebih dikenali sebagai OCD dalam kalangan masyarakat pada hari ini.


ABU ZAYD AL-BALKHI bukan sahaja hebat dalam bidang psikologi, tetapi turut menguasai beberapa disiplin ilmu lain seperti geografi, perubatan, falsafah, teologi, politik, etika, sosiologi, tatabahasa dan lain-lain.
ABU ZAYD AL-BALKHI bukan sahaja hebat dalam bidang psikologi, tetapi turut menguasai beberapa disiplin ilmu lain seperti geografi, perubatan, falsafah, teologi, politik, etika, sosiologi, tatabahasa dan lain-lain.

Walaupun OCD didakwa mula diperkatakan sekitar tahun 1600-an, tetapi seorang sarjana Islam Mesir-Amerika, Dr Rania Awaad dalam kertas saintifiknya membuktikan sebaliknya kerana fakta tersebut sudah diterangkan oleh Al-Balkhi sejak abad kesembilan lagi.

“Al-Balkhi kini diiktiraf sebagai individu pertama mengklasifikasikan, mendiagnosis dan mencadangkan rawatan berfungsi secara tepat untuk penyakit psikiatri seperti OCD, hampir satu milenium sebelum kemajuan sama dalam psikiatri Eropah,” katanya melalui laman web muslim.sg.

Mahir prosa Arab

Menjadi resam seorang ilmuan, kepakaran Abu Zayd Al-Balkhi tidak hanya terarah kepada bidang kesihatan dan psikologi semata-mata. Boleh dikatakan, beliau menguasai banyak disiplin ilmu seperti geografi, falsafah, tatabahasa, sosiologi, sastera dan matematik.

Bahkan, beliau turut dikenali sebagai ahli teologi Muslim yang hebat.

Suatu perkara menarik tentang Abu Zayd Al-Balkhi, menurut International Institute of Islamic Thought, beliau begitu mahir dalam prosa Arab dan tidak suka berhujah.

PROFIL

ILUSTRASI ABU ZAYD AL-BALKHI
ILUSTRASI ABU ZAYD AL-BALKHI

Nama penuh: Abu Zayd Ahmed Ibnu Sahl Balkhi

Nama panggilan: Abu Zayd Al-Balkhi

Gelaran: Bapa psikologi dunia dan pakar psikologi kognitif pertama dunia

Asal: Wilayah Balkh (kini berada di Afghanistan)

Tahun kelahiran: 850 Masihi

Tahun kematian: 934 Masihi

Kepakaran: Psikologi, geografi, perubatan, falsafah, teologi, politik, etika, sosiologi, tatabahasa dan lain-lain

Karya agung: Kitab Masalih al-Abdan wa al-Anfus dan Ar-Ruh

Sumbangan: Memberi penekanan tentang kesedaran dan muhasabah diri untuk pertumbuhan peribadi, mengiktiraf kesan alam sekitar terhadap kesihatan mental, meneroka emosi dan pengaruhnya terhadap tingkah laku serta lain-lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!