Umum tidak bertanding PRK Sungai Bakap, Muda mahu fokus isu rakyat

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu terus menjadi suara rakyat dengan menekankan isu kos sara hidup, peruntukan adil kepada semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta meneruskan agenda reformasi institusi yang belum terlaksana.

Keputusan itu dibuat selepas Muda mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal membuka tirai rasmi bermula Sabtu ini.

Muda dalam satu kenyataan berkata, pihaknya baru-baru ini menyuarakan beberapa isu penting seperti Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024 yang mana Malaysia berada di tangga ke-34 berbanding ke-27, peningkatan inflasi, intimidasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua peguam, pelantikan Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM dan janji semasa PRK.

"Semua isu ini memerlukan perhatian dan tindakan segera demi kepentingan rakyat.

"Selain menumpukan isu rakyat, Muda telah menyelesaikan fasa pertama agenda rejuvenasi parti. Pada Jun 2024, Muda juga melancarkan pendaftaran baharu secara digital dan pautan portal keahlian.

"Seterusnya, Muda mahu menumpukan pelan agenda rejuvenasi fasa kedua dan gerak kerja politik khidmat di peringkat negeri serta Parlimen," katanya pada Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Mohd Nor daripada Pas pada 24 Mei lepas akibat mengalami keradangan dalam perut.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang di-Pertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!