Ugut bunuh, pukul ejen rumah kerana berang kunci pintu ditukar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Berang kunci pintu rumah sewanya di sebuah kondominium di Ampang Ukay di sini, ditukar dan tidak boleh dibuka, seorang lelaki bertindak agresif mengugut mahu pukul dan bunuh ejen kediaman terbabit pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pihak pengurusan kondominium telah menghubungi ejen rumah itu memaklumkan penyewanya datang dan ingin masuk ke rumah.

Menurutnya, penyewa iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun telah menuduh ejen terbabit mengunci rumah itu.

"Penyewa itu kemudian mula bertindak agresif dan mengacah untuk menampar serta mengugut mahu memukul dan membunuhnya.

"Akibat daripada itu, bagi mengelakkan keadaan yang lebih teruk, ejen rumah itu bergegas beredar dari tempat kejadian," katanya pada Jumaat.

Berikutan itu, bertindak hasil maklumat, kata beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan suspek kira-kira jam 2 pagi, Jumaat di Ampang.

Tambahnya, motif ugutan disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana pengunci pintu rumah sewanya telah ditukar dan tidak dapat masuk ke dalam rumah.

"Suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau telah direman empat hari sehingga Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!