Menteri Agama teman dua jemaah terpisah semasa haji

Mohd Na'im (kiri) bersama isteri, Nik Roslini (kanan) sama-sama melaksanakan ibadah saie di Bukit Safa dan Marwah dengan dua jemaah wanita daripada Malaysia (tengah) yang terpisah daripada kumpulannya. Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim

A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menemani dua jemaah haji yang terpisah daripada kumpulan untuk menyelesaikan tawaf dan saie.

Beliau berkata, dua jemaah rakyat Malaysia meminta bantuannya dan isteri, Datin Setia Nik Roslini Raja Haji Ismail semasa berada di Masjidil Haram yang ketika itu hendak melaksanakan tawaf wada’.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan kedua-dua jemaah tersebut selamat kembali ke maktab mereka dengan bantuan petugas haji.

“Apabila berada di Makkah dan Madinah, kita semua amat memahami akan kebimbangan apabila ahli keluarga kita khususnya ibu bapa yang sudah berusia, terpisah daripada pergerakan kumpulan.

Mohd Na'im (kiri) menemani dua jemaah wanita yang terpisah daripada kumpulannya menunaikan saie. Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim
Mohd Na'im (kiri) menemani dua jemaah wanita yang terpisah daripada kumpulannya menunaikan saie. Foto Facebook Dato' Setia Dr. Naim

“Alhamdulillah, semoga mereka ini dipermudahkan segala urusan dan semoga semua jemaah dikurniakan haji yang mabrur serta diterima sebagai amal soleh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada 8 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Mohd Na’im berangkat ke Arab Saudi bagi mengadakan lawatan kerja sekali gus menunaikan haji.

Beliau berkata, fokus lawatan kerja kali ini adalah untuk melihat sendiri operasi masyair (kemuncak ibadat haji yang bermula di Arafah, Muzdalifah dan Mina) yang dilaksanakan Tabung Haji serta menyantuni jemaah haji negara.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!