Keputusan Speaker DUN Kelantan tak boleh terikat Speaker Dewan Rakyat

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung pengosongan kerusi DUN Nenggiri tidak boleh terikat dengan Speaker Dewan Rakyat kerana terdapat pemisahan kuasa antara negeri dan peringkat Persekutuan.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mohd Amar kerana tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim jelas melanggar undang-undang negeri Kelantan dan kerusi wajar dikosongkan.

Menurutnya, sebarang undang-undang yang diterima di peringkat DUN mengenai Akta Anti Lompat Parti adalah sama sepertimana diluluskan di Parlimen, namun bergantung kepada Speaker untuk memberikan tafsiran terperinci mengenainya.

"Saya bukan sahaja ahli Parlimen ketika itu, saya juga ahli Kabinet semasa pindaan perlembagaan Akta Anti Lompat Parti dan kalau tak silap lebih 200 ahli Parlimen menyokong pindaan ini sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang.

"Memang ketika ia dipinda dan diterima, kita nak elakkan ahli Parlimen atau ADUN daripada melompat parti. Hal ini kerana tak mahu peristiwa seperti Langkah Sheraton berlaku lagi kerana ada kepentingan beberapa pihak tertentu mahu ubah kerajaan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Amar umum kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu lalu dan keputusan tersebut dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 12 Jun lepas.

Menurut beliau, notis berkenaan memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi terbabit.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen Gua Musang dan sebelumnya sebagai ADUN Nenggiri.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!