Hala tuju TVET: Ikut permintaan, bukan penawaran

(Dari kiri) Ismail, Abdul Rasid, Rozaiman dan Ahmad Hamdi menyertai program Wacana Sinar bertajuk ‘TVET: Potensi Masa Hadapan’.
(Dari kiri) Ismail, Abdul Rasid, Rozaiman dan Ahmad Hamdi menyertai program Wacana Sinar bertajuk ‘TVET: Potensi Masa Hadapan’.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dirangka mengikut permintaan dan bukannya penawaran semata-mata.

Demikian pandangan dilontarkan oleh Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Profesor Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang mana setiap program TVET haruslah meletakkan keperluan industri sebagai penanda aras pembangunannya.

“Dalam industri ini, kita tidak boleh menawarkan program yang bersifat ‘seronok sendiri’.

“Apabila mewujud dan menawarkan apa-apa program TVET, kita perlu ada kerjasama yang erat dengan pihak industri supaya kita tahu apa keperluan mereka untuk jangka masa panjang,” katanya.

Abdul Rasid yang juga Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (UA) itu berkata demikian ketika program Wacana Sinar Siri-444 yang bertajuk ‘TVET: Potensi Masa Hadapan’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu dihoskan oleh Ismail Adnan yang mana ia turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Ts Ahmad Hamdi Ibrahim serta Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Kontraktor dan Personel Binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Rozaiman Hassan.

ABDUL RASID
ABDUL RASID

Tambah Abdul Rasid, Malaysia sedang dalam proses menjadi sebuah negara maju menjelang 2030 yang berpaksikan pembinaan modal insan berkemahiran.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, sebarang rancangan mewujud dan menawarkan program-program TVET perlu melihat kepada skop luas, selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12.

Sehubungan itu katanya, peranan universiti-universiti teknikal seperti UTHM, UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), UMPSA (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) dan UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) amat signifikan dalam menawarkan program TVET termaju bagi menyedaikan bakat-bakat yang diperlukan negara pada masa depan berdasarkan keperluan industri.

“Pada masa sama, kita harus mengambil kira perspektif di peringkat global yang sedang berusaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” jelasnya.

Sektor termaju

Sambil memberikan contoh pembangunan sektor teknologi digital, ia merupakan antara fokus utama Malaysia selari dengan perkembangannya di peringkat industri di seluruh dunia.

Fokus ini berjaya diterjemahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila melancarkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

“Dengan fokus yang bersasar itu, mana-mana pihak perlu mengambil peluang sebaik mungkin dalam menyediakan sumber tenaga berkualiti dalam bidang itu,” ujarnya.

GiatMara lahir guna tenaga ikut keperluan Industri

SHAH ALAM - Setiap program yang ditawarkan di GiatMara adalah mengikut keperluan industri bagi memastikan setiap pelatih mempunyai jaminan pekerjaan sebaik sahaja tamat latihan mereka.

AHMAD HAMDI
AHMAD HAMDI

Penawaran program latihan kemahiran itu menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hamdi Ibrahim turut dirasionalkan mengikut Dasar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2030.

"Di GiatMara, kami memberi latihan kemahiran dalam pelbagai bidang dan tahap kemahiran kepada masyarakat tempatan mengikut perkembangan teknologi semasa.

“Saya yakin sekiranya ada pelabur berhasrat membuka operasi industri di Malaysia, kita sudah ada cukup tenaga mahir untuk menyokong pelaburan mereka,” katanya ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar Siri-444 bertajuk ‘TVET: Potensi Masa Hadapan’ yang berlangsung di sini pada Rabu.

Sambil memberikan contoh di GiatMara Bayan Lepas, Pulau Pinang, Ahmad Hamdi memberitahu institusi itu menyediakan program teknikal berkaitan elektrik dan elektronik (E&E), melengkapi keperluan industri di kawasan itu yang merupakan pusat pengeluaran produk E&E.

Dalam pada itu Ahmad Hamdi memaklumkan, GiatMara turut mengadakan pelbagai program lain untuk membantu komuniti setempat, terbuka kepada semua peringkat umur bermula daripada usia 15 tahun.

"Salah satunya ialah program yang dipanggil TVET Komuniti, kita mahu setiap insan perlu ada sekurang-kurangnya satu kemahiran. Kita perbanyakkan program latihan jangka pendek iaitu selama tiga hingga lima hari kepada komuniti.

“Dengan TVET Komuniti ini, masyarakat setempat boleh menjana pendapatan sendiri dengan kemahiran yang mereka peroleh melalui GiatMara,” katanya.

Selain itu, GiatMara turut menerima pelatih daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) sebagai persediaan kepada bekas-bekas anggota keselamatan memulakan kehidupan mereka sebagai orang awam selepas berpencen.

Kebolehpasaran pelatih ABM-CIDB Tech jangkau 90 peratus

SHAH ALAM - Tahap kebolehpasaran lepasan Akademi Buruh Malaysia-CIDB Technologies (ABM-CIDB Tech) menjangkau 90 peratus berdasarkan data yang terkumpul pada tahun 2015 hingga 2023.

ROZAIMAN
ROZAIMAN

Pengurus Besar Kanan, Sektor Pembangunan Kontraktor dan Personel Binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Rozaiman Hassan berkata, ABM-CIDB Tech telah ditubuhkan pada tahun 1997 dengan menawarkan pelbagai program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pembinaan.

“Sejak penubuhan hingga kini, ABM-CIDB Tech telah melahirkan seramai 155,326 pelatih dari enam pusat latihan di seluruh Malaysia iaitu di Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan jumlah tersebut, kita telah lihat kebolehpasaran pelatih program TVET ABM-CIDB Tech berdasarkan cerapan data daripada tahun 2015 hingga 2023 yang mana 90 peratus mereka berada dalam sektor pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis dalam program Wacana Sinar Siri-444 bertajuk ‘TVET: Potensi Masa Hadapan’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Mengulas mengenai Dasar TVET Negara 2030, Rozaiman berkata, ia adalah untuk melahirkan guna tenaga yang berkemahiran bagi memenuhi sasaran Malaysia untuk mencapai status negara maju.

Katanya, melalui pemerkasaan TVET, ia menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pelbagai bidang industri khususnya pembinaan seperti mana yang ditawarkan oleh CIDB sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.