WHO beri amaran ubat diabetes palsu diedar di seluruh dunia

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

GENEVA - Ubat diabetes palsu telah diedarkan di seluruh dunia sejak 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa kesihatan merujuk secara khusus kepada penemuan di Britain, Amerika Syarikat dan Brazil sejak Oktober 2023.

Ubat yang terlibat ialah Ozempic, ubat yang mengandungi bahan aktif semaglutide, yang juga diluluskan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk rawatan diabetes jenis 2.

Versi palsu kelihatan sama dengan ubat sebenar. Kerana produk itu juga menyekat selera makan, ia semakin banyak diberi preskripsi untuk penurunan berat badan.

Namun, ubat palsu mungkin tidak mengandungi jumlah bahan aktif yang betul dan oleh itu boleh menyebabkan gula dalam darah tidak terkawal bagi pesakit diabetes, kata WHO, sambil menambah bahawa ia mungkin juga mengandungi bahan aktif lain yang berisiko kepada kesihatan.

WHO menyeru doktor, ahli farmasi, pihak berkuasa pengawalseliaan dan orang awam untuk berwaspada.

Orang ramai hanya perlu membeli ubat melalui preskripsi dari farmasi dan bukan secara dalam talian, kata WHO.

Pengguna perlu memastikan bahawa skala dos pada pen insulin dipaparkan dengan betul, label kelihatan betul dan tiada kesalahan ejaan pada kotak, tambah WHO. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!