[VIDEO] KJ setuju teguran Rasuah Busters

A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar senada dengan kenyataan yang dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters yang membidas tindakan Perdana Menteri memberi sumbangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Rasuah Busters itu sebagai satu kritikan pedas dan tidak bias kepada mana-mana pihak kerana kerajaan tidak menitikberatkan perihal kredibiliti moral sebaliknya hanya mahu kekal berkuasa.

“Saya ada baca satu kenyataan yang dikeluarkan NGO, Rasuah Busters yang diasaskan oleh Datuk Hussamuddin Yaacub iaitu pemilik kepada surat khabar Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf.

“Beliau keluarkan kenyataan yang pedas pada 19 Jun mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap. Seperti yang kita tahu PRK Sungai Bakap akan berlangsung. ‘Salah tetap salah jangan main kotor’ (tajuk kenyataan Rasuah Busters),” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap pada Khamis.

Gambar kiri: Khairy Jamaluddin. Laporan Sinar Harian.
Gambar kiri: Khairy Jamaluddin. Laporan Sinar Harian.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan sebanyak RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di DUN Sungai Bakap.

Seterusnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM18 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan infrastruktur awam di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang demi kesejahteraan penduduk.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu meliputi kategori bina baharu, baik pulih pembangunan, kerja-kerja menaik taraf landskap serta penyaluran peruntukan kepada enam Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khairy turut mendakwa bahawa kerajaan melakukan perkara-perkara yang dilakukan pentadbiran terdahulu.

“Dulu macam-macam kecaman dibuat oleh mereka sewaktu menjadi pembangkang, berkenaan perkara yang dibuat oleh menteri-menteri dalam kerajaan pada ketika itu, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN).

“Sekarang, dia (Anwar) buat benda yang sama, tidak ada apa-apa pertimbangan moral. Ini adalah salah satu apa yang saya cakap tadi, mereka tidak sama sekali tidak ambil peduli tentang moral sebaliknya mahu kekal berkuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau mengharapkan agar Kerajaan Perpaduan menitikberatkan perihal kredibiliti moral sebelum tamat penggal.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Ahli Parlimen Tambun itu merupakan gerakan politik yang membawa aspirasi, moral, tadbir urus dan tatakelola yang baik tetapi selepas menjadi kerajaan, tindakan dilakukan tidak mencerminkan perjuangan terdahulu.

“Saya harap ada (perubahan), untuk Malaysia bukan untuk KJ, Shahril, bukan untuk politik tetapi untuk Malaysia. Mereka (PH) boleh kembali sedikit kepada semangat asal itu.

“Kalau tidak, tiada lagi harapan... sebab bukan hanya PH tiada harapan tetapi orang Malaysia akan anggap semua ahli politik dan parti sama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!