Alat muzik hangus dalam kebakaran

Keadaan bilik sewa Abdul Manaf yang musnah dalam kebakaran yang memusnahkan enam unit kedai di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Dato Wong Ah Jang, Selasa lalu. Gambar kecil: Abdul Manaf
Keadaan bilik sewa Abdul Manaf yang musnah dalam kebakaran yang memusnahkan enam unit kedai di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Dato Wong Ah Jang, Selasa lalu. Gambar kecil: Abdul Manaf
A
A
A

KUANTAN - Kehidupan seorang pemuzik jalanan berubah sekelip mata apabila peralatan muziknya musnah dalam kebakaran enam unit kedai di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Dato Wong Ah Jang, Selasa lalu.

Abdul Manaf Ghazali, 49, yang sering menghiburkan orang ramai, kini berdepan masa depan yang tidak menentu selepas kerugian lebih RM15,000 apabila peralatan muzik termasuk piano, sistem siaraya, dan pembesar suara musnah dalam kebakaran tersebut.

Dia juga mengaku tidak mampu untuk mengganti alatan muzik yang musnah itu kerana sumber pendapatan sudah terjejas.

"Sukar untuk saya cari makan ketika ini, kadang-kadang saya pinjam peralatan muzik dengan rakan untuk mencari rezeki.

"Kalau tidak, saya tidak tahu macam mana hendak cari makan, jadi harap sangat ada mereka yang bantu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Semua hangus dalam kebakaran yang memusnahkan enam unit kedai di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Dato Wong Ah Jang, Selasa lalu.
Semua hangus dalam kebakaran yang memusnahkan enam unit kedai di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Dato Wong Ah Jang, Selasa lalu.

Pada Selasa, enam unit kedai bangunan dua tingkat hangus dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Dato Wong Ah Jang di sini

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kebakaran melibatkan enam unit pintu kedai dua tingkat.

Artikel Berkaitan:

Ketika kejadian, Abdul Manaf tidak berada di bilik sewanya dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa harta benda, menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.

"Masa itu saya berada di Teluk Cempedak, sebaiknya sahaja sampai, api sudah dipadamkan bomba.

"Semua hangus dan saya hanya mampu melihat sahaja kerana tiada satu pun yang boleh diselamatkan. Jadi, mahu tidak mahu saya perlu reda dan bersabar dengan ujian ini," luahnya yang berasal dari Maran.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu, yang masih belum berkahwin, kini menyewa bilik di kawasan berhampiran penempatan sebelumnya.

Abdul Manaf kini berharap ada pihak yang sudi membantu membina semula kerjayanya agar dia dapat terus menyebarkan kegembiraan melalui muziknya.

"Saya hendak berdikari, tidak ingin susahkan keluarga, dan mahu gunakan bakat yang ada untuk mencari rezeki halal," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Abdul Manaf boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1111141000116584 atas nama Abdul Manaf.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!