Pengurus syarikat petroleum rugi RM3.9 juta

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pengurus syarikat petroleum kerugian RM3.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan 'cryptocurrency' tidak wujud melalui media sosial.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu berminat mengenai dagangan pasaran saham yang diiklankan menerusi Facebook dan kemudian telah menyertai ke dalam satu kumpulan WhatsApp untuk pasaran saham pada Disember tahun lepas.

"Pada bulan Mac lepas, mangsa telah diperkenalkan dengan pelaburan cryptocurrency dan membuka akaun pelaburan dengan Baorui Exchange yang berpengkalan di Amerika Syarikat dengan nilai jumlah sebanyak RM7,071.75 (AS$1,500).

"Kemudian mangsa diminta untuk menambah deposit sebanyak RM942,900 (AS$200,000) untuk memulakan transaksi urusan pelaburan.

"Pada 30 April lepas, mangsa cuba mengeluarkan wang dari Baorui Exchange itu namun disekat dengan alasan akaun mangsa sudah dijadikan sebagai VIP Bronze User di mana mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM942,900 sebelum boleh membuat pengeluaran," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, sekiranya mangsa menarik diri daripada menjadi ahli VIP Bronze User tersebut maka lelaki berkenaan akan didenda sebanyak RM2.36 juta.

Mohd Khairi berkata, susulan itu mangsa telah mendepositkan wang sebanyak RM518,595 selepas berunding dengan Baorui Exchange tersebut untuk mengurangkan bayaran sebagai VIP Bronze User supaya dapat mengeluarkan duit.

"Mangsa kemudian ditawarkan dengan keuntungan jika membuat penambahan dana. Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa terus membuat pindahan wang ke akaun diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Pada 17 Jun lepas, mangsa ingin mengeluarkan modal dalam akaun tersebut namun diberitahu akaunnya dalam siasatan pengubahan wang haram oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dikehendaki membayar sebanyak RM2.5 juta sebelum 21 Jun bagi mengelakkan duit mangsa dibekukan," ujarnya.

Mohd Khairi berkata, mangsa yang menyedari bahawa ia merupakan satu penipuan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 20 Jun lepas.

"Tindakan mengesan dan menangkap suspek masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

"Jadi orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!