PRK Sungai Bakap: SPR giat buat persiapan, simulasi di pusat penamaan calon

Para petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap esok ketika tinjauan di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Jumaat. Foto Bernama
Para petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap esok ketika tinjauan di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kurang 24 jam sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, tinjauan Bernama mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan persiapan akhir.

Selain pelbagai notis ditampal di setiap sudut dewan untuk perhatian orang ramai dan penyokong parti politik, sesi simulasi proses penamaan calon menjadi sebahagian daripada aktiviti persediaan akhir petugas SPR di pusat penamaan calon.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim berkata, persiapan kini berada di tahap akhir dan pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon esok yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

"Insya-ALLAH kesemua petugas (pilihan raya) bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon esok,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap esok. Foto Bernama
Persiapan menjelang hari penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap esok. Foto Bernama

Antara persiapan yang dilaksanakan ialah menyusun atur kedudukan bakal calon, pencadang dan pegawai di dalam dewan mengikut prosedur ditetapkan serta proses semakan borang, dokumen dan status insolvensi yang akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Khairulnizam berkata, sebanyak 552 petugas SPR terlibat selain dibantu 794 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menjaga keselamatan serta kelancaran sepanjang PRK itu berlangsung.

Pada masa sama, beliau menasihati bakal calon dan pencadang serta penyokong supaya hadir lebih awal kerana bimbang berlaku kesesakan di kawasan luar dewan.

Artikel Berkaitan:

Khairulnizam turut mengingatkan bakal calon agar memastikan semua prosedur serta dokumen yang diperlukan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah ketika proses penyerahan borang pencalonan.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada penyokong yang hadir esok supaya mengikuti peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon,” katanya.

SPR telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi esok. Foto Bernama
SPR telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi esok. Foto Bernama

Ditanya mengenai ramalan cuaca yang dijangka hujan pada sebelah pagi esok, beliau berkata, beberapa khemah tambahan telah disediakan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Pusat penamaan calon akan dibuka bermula 9 pagi dan ditutup sejam kemudian.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut dan SPR menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK kawasan itu, manakala pengundian awal pada 2 Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!