Permohonan pemutihan tahfiz persendirian dibuka hingga Disember ini

Mohammad Fahmi
Mohammad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Baki 724 Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) yang belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta berbuat demikian untuk kelayakan menyertai program pemutihan ITP.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pendaftaran perlu dibuat di laman web Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) sehingga Disember ini.

Menerusi program pemutihan itu, beliau menyasarkan pendaftaran dapat mencapai antara 70 hingga 75 peratus.

“Pemutihan ITP ini penting untuk menjamin keselamatan pelajar dan guru. ITP kini tumbuh seperti cendawan apabila tidak berdaftar wujudlah sekolah tahfiz beroperasi seperti di gudang dan rumah kedai.

“Ketiadaan pemutihan juga akan menyukarkan JAIS menyalurkan bantuan kepada pihak pengurusan tahfiz,” katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pendaftaran ITP itu membolehkan permohonan pemutihan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT).

Katanya, KMTT itu bertujuan memberi peluang kepada PBT untuk melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan di samping memberi peluang kepada pengusaha atau pun tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dalam tempoh tiga tahun.

“Oleh itu, pada 2028 kita akan lihat sama ada 724 ITP ini berjaya diputihkan atau digugurkan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, ITP yang memenuhi syarat KMTT, layak dipertimbangkan untuk Permohonan Kebenaran Merancang Penuh kepada PBT jika dimohon pengusaha tahfiz,” katanya.

Kerajaan negeri melalui JAIS sebelum ini melaksanakan program pemutihan bagi memastikan ITP mematuhi syarat minimum kebenaran merancang oleh PBT.

Ia bagi membantu pengusaha pengusaha tahfiz persendirian meneruskan operasi secara sementara, seterusnya menerima bantuan daripada JAIS.

Skop pemutihan itu akan hanya melibatkan ITP yang telah dibina dan beroperasi hingga 31 Disember 2023.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!