AS haramkan perisian antivirus Kaspersky

AS haramkan penjualan perisian antivirus Kaspersky atas faktor keselamatan negara
AS haramkan penjualan perisian antivirus Kaspersky atas faktor keselamatan negara
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan mengharamkan penjualan perisian antivirus yang dibuat oleh syarikat keselamatan siber yang berpangkalan di Moscow, Kaspersky, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jabatan Perdagangan AS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi Kaspersky di negara itu menimbulkan risiko keselamatan negara "disebabkan oleh keupayaan serangan siber kerajaan Rusia dan keupayaan untuk mempengaruhi atau mengarahkan operasi Kaspersky."

"Kaspersky pada umumnya tidak lagi dibenarkan, antara lain menjual perisiannya di AS atau menyediakan kemas kini kepada perisian yang sudah digunakan," katanya pada Khamis.

Jabatan itu menasihatkan pengguna perisian antivirus Kaspersky yang dipasang secara meluas agar mencari alternatif berikutan potensi risiko.

"Rusia telah berulang kali menunjukkan bahawa mereka mempunyai keupayaan dan niat untuk mengeksploitasi syarikat Rusia seperti Kaspersky Lab, untuk mengumpul dan menjadikan maklumat sensitif AS sebagai senjata, dan kami akan terus menggunakan setiap alat yang ada untuk melindungi keselamatan negara AS dan rakyat Amerika," kata Setiausaha Perdagangan Gina Raimondo.

Penjualan perisian Kaspersky di AS akan dilarang mulai 20 Julai, manakala kemas kini perisian akan tersedia untuk pengguna sedia ada sehingga 29 September.

Perisian Kaspersky direka untuk melindungi pengguna daripada trojan, perisian pengintip dan ancaman siber lain.

Pemasangan perisian Kaspersky pada peranti kerajaan di AS telah diharamkan sejak 2017, dan Pejabat Persekutuan bagi Keselamatan Maklumat (BSI) Jerman juga telah memberi amaran terhadap penggunaan perisian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kaspersky menafikan produk mereka menimbulkan risiko dengan menegaskan bahawa ia adalah syarikat keselamatan siber global swasta tanpa kaitan dengan kerajaan Rusia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!