ADUN Nenggiri ke mahkamah Ahad ini cabar keputusan Speaker DUN Kelantan

Mohd Azizi
Mohd Azizi
A
A
A

KOTA BHARU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Ahad ini bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan berhubung pengosongan kerusi tersebut berkuatkuasa Rabu lalu.

Beliau berkata, peguam sudah pun dilantik untuk mengendalikan kes berkenaan.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan barisan pasukan peguam untuk mengendalikan kes tersebut," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut beliau, tindakan mencabar itu bertujuan mendapatkan keadilan kepadanya selaku wakil rakyat yang telah dipilih oleh majoriti pengundi DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada 12 Ogos tahun lalu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.

Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 12 Jun lalu.

Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

PRN lalu Mohd Azizi dari Pas menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!