Farm in The City raikan 2,000 pelancong dari China
SERI KEMBANGAN - Farm in The City meraikan lebih 2,000 pelancong dari China sempena sambutan Ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China, di sini pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Allan Phoon berkata, aktiviti utama yang dilakukan adalah setiap orang diberi peluang untuk mencanting dan mewarna batik.
"Tujuan kita buat aktiviti ini sebab hendak memperkenalkan seni dan budaya di Malaysia, jadi kita sediakan bahan kemudian mereka diajar oleh kakitangan bagaimana mahu siapkan batik.
"Mereka boleh membawa pulang hasil batik masing-masing sebagai kenangan. Selain itu, pelancong ini juga berpeluang untuk melakukan lawatan di zoo kita," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut Allan memaklumkan, Farm in The City merupakan sebuah zoo terletak di yang menggabungkan keseronokan hidupan liar dengan keindahan alam semula jadi.
Ujarnya, semua haiwan di sini kebanyakannya dibiarkan bergerak bebas dan mesra pengunjung.
"Walaupun tiada harimau atau gajah tetapi keistimewaan kita adalah pelancong boleh bermain atau menyentuh haiwan di sini secara terus dan makanan seperti sayur juga disediakan.
"Pada masa sama, Farm in The City juga mempunyai haiwan yang jarang dilihat seperti lembu terkecil di dunia, kura-kura gergasi dan banyak lagi.
"Pengunjung juga berpeluang untuk melakukan aktiviti bergambar secara lebih dekat dengan burung dan haiwan lain," jelasnya.
Tambah beliau, tujuan program tersebut diadakan adalah untuk mempromosikan industri pelancongan Malaysia kepada negara luar.
Katanya, pengalaman yang berbeza akan mendorong pelancong untuk menceritakan mengenai keunikan negara ini kepada rakan atau keluarga mereka sebaik sahaja pulang ke China.
"Jadi saya rasa bila kita buat aktiviti menarik dan memberi layanan terbaik yang diberikan kepada mereka, ia akan membuatkan mereka mahu datang lagi ke Malaysia.
"Selama tiga hari program ini berlangsung, saya menerima respons yang sangat positif dan saya harap ia sedikit sebanyak akan membantu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!