Pelaburan kripto 'kakaue' jerat duit RM3.5 juta

Foto hiasan. Gambar kecil: Ramli
Foto hiasan. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima lapan kes penipuan 'kakaue' iaitu tipu pelaburan kripto tidak wujud membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 22 akaun bank atas nama pelbagai syarikat dan perniagaan sedang disiasat kerana dipercayai digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima JSJK, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga seorang peguam memaklumkan mengalami kerugian RM1.3 juta setelah menyertai skim pelaburan tersebut.

"Berdasarkan siasatan, pada Disember tahun lalu, mangsa tertarik dengan pelaburan kakaue setelah melihat iklan yang dipaparkan di Facebook.

"Mangsa kemudiannya dihubungi melalui WhatsApp oleh beberapa individu yang mendakwa sebagai wakil dari syarikat Kakaue Exchange," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, setelah mendaftar melalui laman sesawang yang diberikan, mangsa telah membuat pindahan wang secara berperingkat ke 14 akaun syarikat yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM1,339,918.

Jelasnya, melalui platform pelaburan tersebut, mangsa dapat melihat wang pelaburannya menjana keuntungan, namun apabila ingin mengeluarkan keuntungan yang diperoleh, pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak sindiket.

"Mangsa berasa curiga apabila mendapati tiga mata wang kripto yang dibelinya melalui platform tersebut tidak ditawarkan oleh mana-mana exchanger mata wang kripto yang lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, kata Ramli, pihaknya menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim pelaburan ini untuk segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran agar siasatan sewajarnya dapat dijalankan.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan matawang kripto dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat.

"Adalah penting untuk membuat pelaburan melalui syarikat atau exchanger yang diluluskan sahaja agar wang yang dilaburkan terjamin serta dilindungi oleh undang-undang di negara ini. Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!