[VIDEO] Pengusaha trak tunda rayu subsidi diesel

A
A
A

PUTRAJAYA - Pengusaha trak tunda menuntut kerajaan memberi pertimbangan agar diberi subsidi diesel bagi mengurangkan beban kos ditanggung mereka susulan penyasaran subsidi bahan bakar itu.

Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Josephprakash berkata, pengusaha trak tunda sering merentas jarak yang jauh untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan, namun harga diesel semasa menjadikan mereka sukar mengekalkan pengoperasian.

"Situasi ini diburukkan lagi oleh kesukaran ekonomi dihadapi orang awam, menghadkan kemampuan mereka untuk menanggung kos perkhidmatan trak tunda yang meningkat," menerusi memorandum yang dihantar kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh di sini pada Jumaat.

Fuziah ketika bertemu dengan wakil pengusaha trak tunda pada Jumaat.
Fuziah ketika bertemu dengan wakil pengusaha trak tunda pada Jumaat.

Menurutnya, perkhidmatan trak tunda merupakan komponen penting dalam infrastruktur negara dan sering menjadi responden pertama dalam kejadian kemalangan jalan raya.

"Kos diesel yang rendah akan membantu syarikat trak tunda menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik sekali gus membolehkan pihak mereka menyediakan perkhidmatan mampu kepada orang awam," ujar beliau.

Sementara itu, Fuziah ketika ditemui berkata, pihaknya sedia membawa isu tersebut ke jawatankuasa rayuan subsidi diesel untuk pertimbangan.

"Sudah tentu kita beri tumpuan terhadap barang perlu dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa 10 Jun lalu, membolehkan kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pihak yang ingin memohon diesel bersubsidi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan pada 29 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!