Warga emas rugi RM3.5 juta, peguam tipu jual beli tanah
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas rugi RM3.5 juta selepas dipercayai ditipu peguam yang menguruskan jual beli lot tanah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan dibuat mangsa berusia 63 tahun di Ampang, Selangor pada Khamis.
Katanya, berdasarkan laporan dibuat mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, pada 25 Oktober 2022, dia telah menandatangani perjanjian jual beli untuk menjual dua tanah lot miliknya kepada sebuah syarikat dengan nilai RM3.5 juta.
"Perjanjian tersebut telah disaksikan oleh seorang peguam dari firma guaman yang telah dilantik untuk mewakili mangsa.
"Pada 15 Mac tahun lalu, mangsa telah membuat 'thumbprint' di Pejabat Tanah Petaling bersama peguam yang dilantik dan urusan penjualan tanah tersebut selesai pada hari yang sama. Namun, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang wang hasil dari penjualan tanah tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Tegas Ramli, jumlah kes pecah amanah oleh peguam mungkin kecil jika dibandingkan jumlah keseluruhan peguam yang berdaftar, namun nilai kerugian yang direkodkan bagi setiap kes adalah besar.
"Pihak polis memandang serius isu ini dan usaha yang sewajarnya perlu diambil bagi mengekang kes-kes sebegini dari terus berlaku.
"Majlis Peguam Malaysia digesa untuk turut senada dalam hal ini dan melaksanakan peranannya demi menjaga imej dan nama baik profesion peguam," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!