Tinggal lebih tempoh, empat kenderaan disita JKDM Perlis
KANGAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita empat kenderaan pelbagai jenama selepas didapati tinggal melebihi tempoh 90 hari di Tanah Semenanjung.
Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, rampasan dilakukan selepas kenderaan terbabit didapati melanggar syarat di bawah butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Katanya, empat kenderaan tersebut termasuk Volkswagen, Mazda dan Toyota.
"Empat kes ini masing-masing diperoleh pada Januari dan April tahun ini, manakala dua kes terbaharu adalah pada 8 dan 16 Jun lalu.
"Kesemua kes diperoleh di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurutnya, berdasarkan butiran 14, kenderaan yang dibeli di pulau bebas cukai, sama ada di Langkawi atau Labuan, dibenarkan masuk ke tanah besar tidak lebih 90 hari dalam setahun.
"Kita akan menjalankan siasatan terperinci dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!