Kes curi wang RM24.2 juta dari akaun bank: Lagi suspek terbaharu direman

Polis menahan 40 warga tempatan melibatkan 15 lelaki dan 25 perempuan berusia antara 22 hingga 50 tahun pada Khamis kerana dipercayai terlibat dengan operasi pusat panggilan yang menawarkan pelaburan tidak wujud. - Gambar hiasan
Polis menahan 40 warga tempatan melibatkan 15 lelaki dan 25 perempuan berusia antara 22 hingga 50 tahun pada Khamis kerana dipercayai terlibat dengan operasi pusat panggilan yang menawarkan pelaburan tidak wujud. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita direman selama tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank, melibatkan kerugian sebanyak RM24.2 juta.

Wanita berusia 40-an itu, merupakan suspek terbaharu direman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

Mahkamah yang sama turut membenarkan perintah reman terhadap 10 lagi suspek kes tersebut berusia 22 hingga 53 tahun, disambung selama tiga hari bermula hari ini, setelah kesemua mereka direman pada Isnin (17 Jun).

Semalam, mahkamah turut membenarkan reman terhadap seorang suspek yang merupakan ahli perniagaan bergelar Datuk disambung selama tiga hari bermula semalam, setelah direman pada Isnin.

Pada Rabu (19 Jun), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf berkata, 13 individu termasuk empat kakitangan bank ditahan, bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank, yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang kerana ia hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman bank.

Mohamed Ramli berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!