Lelaki rugi RM15,000 ditipu beli kereta klon

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki kerugian RM15,000 kerana ditipu hingga dia terpedaya membeli sebuah kereta jenis Mercedes Benz klon daripada seorang warga Pakistan pada November tahun lalu.

Mangsa yang berusia 51 tahun mengetahuinya selepas menyemak sendiri status kereta itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun pada 2 Januari lalu, mangsa ditahan dalam pemeriksaan polis trafik di Jalan Mahkota di sini dan keretanya dibawa ke Balai Trafik Kuantan.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung kes itu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran warga Pakistan itu yang menjual kenderaan tersebut pada harga RM25,000.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan lelaki itu pada 26 November tahun lalu dan bersetuju untuk membelinya dengan harga RM23,000.

"Mangsa membayar wang pendahuluan RM15,000 secara tunai dan kenderaan tersebut diserahkan tanpa sebarang dokumen termasuk geran asal.

"Suspek berjanji akan menyerahkan dokumen itu selepas urusan tukar nama diselesaikan dalam tempoh seminggu namun selepas tempoh itu, dokumen tersebut gagal diserahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan dokumen berkenaan namun pelbagai alasan diberikan.

"Curiga dengan alasan warga Pakistan itu, mangsa membuat semakan status kenderaan tersebut dengan JPJ dan mendapati kereta yang dibelinya adalah kenderaan klon," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan lelaki warga Pakistan itu bagi membantu siasatan.

"Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!