Penyeludup diesel, petrol lepas tembakan ke arah anggota kastam
TUMPAT - Penyeludup minyak diesel, petrol melepaskan tiga das tembakan ke arah sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang cuba mematahkan aktiviti penyeludupan di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan di sini pada Rabu.
Kejadian berlaku pada jam 9.45 pagi ketika lima anggota penguat kuasa JKDM sedang menjalankan rondaan air di sekitar Kampung Simpangan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, setiba di kawasan itu anggota bertugas telah melihat 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti pemunggahan yang dipercayai mengandungi minyak petrol dan diesel.
"Pasukan merapati salah sebuah bot berenjin galah yang sarat dengan muatan tong yang dipercayai mengandungi bahan bakar tersebut dimana bot berkenaan berada di tebing pangkalan haram.
"Salah seorang pegawai bertindak melompat masuk ke dalam bot berenjin galah terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, dalam masa yang sama penyeludup cuba melarikan diri dengan melompat ke atas bot kawannya yang datang untuk membantu.
Ujarnya, penyeludup telah mengacukan pistol ke arah anggota JKDM sebelum bertindak melarikan diri ke arah Thailand.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, penyeludup telah melepaskan dua das tembakan ke arah udara.
"Pasukan penguat kuasa JKDM cuba menghadang bot jabatan untuk melindungi tiga orang pegawai daripada terkena tembakan.
"Semasa bot jabatan dan bot kes membuat pusingan ke arah Kuala Tak Bai untuk dibawa balik, penyeludup sekali lagi melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan operasai JKDM," katanya.
Tambah beliau, pihaknya kemudian bertindak memusingkan bot menyebabkan bot milik penyeludup yang sarat dengan minyak petrol tenggelam.
Menurutnya, pasukan JKDM bertindak memotong tali bot enjin galah tersebut dan terus memecut meninggalkan lokasi bagi memastikan keselamatan pegawai.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, semua pasukan operasi dapat menyelamatkan diri dari ancaman tembakan ugutan yang dilakukan oleh penyeludup.
"Cabaran dan halangan semasa menjalankan tugas penguatkuasaan adalah satu rutin yang perlu JKDM tempuhi demi menjaga keselamatan dan mengawal ketirisan hasil negara.
"Ancaman-ancaman seperti ini sedikitpun tidak pernah melunturkan semangat warga kerja JKDM dan akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!