Sebahagian besar isu dalam laporan IMD telah diselesaikan - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini pada Jumaat. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Sebahagian besar isu dalam laporan Ranking Daya Saing Dunia 2024 yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) telah diselesaikan pada suku pertama tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, antara isu yang dibangkitkan ialah berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi dan perkara itu telah ditangani kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penurunan kedudukan berkaitan kecekapan kerajaan dalam laporan IMD.

Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan akan meneliti semua isu termasuk setiap kekuatan dan kelemahan dalam laporan itu secara terbuka serta memberi jaminan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk memperbaikinya.

Selain penyasaran subsidi, turut dibangkitkan ialah isu ringgit, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, meskipun begitu, sememangnya terdapat penambahbaikan dalam semua perkara yang dibangkitkan oleh laporan tersebut.

"Kedua ialah kelemahan ringgit, tahun lalu diakui masalah ringgit yang mencabar tetapi suku pertama tahun ini sudah pun ada peningkatan.

"Syukur alhamdulillah kerana beberapa teguran itu (telah) diambil kira dan (susulan) semua itu, kerajaan akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaikinya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) pertama di Asia di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penurunan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas.

Beliau berkata, berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara daripada tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

Malaysia juga turun empat anak tangga ke kedudukan 10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu.

Secara keseluruhan landskap daya saing kecekapan kerajaan, yang merangkumi lima komponen iaitu kewangan awam; dasar cukai; rangka kerja institusi; perundangan perniagaan; dan rangka kerja sosial, turun daripada kedudukan 29 kepada ke-33, menurut laporan sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!