Pemuda UMNO desak usaha penjualan saham MAHB dihentikan serta-merta

Akmal pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn pada Jumaat.
Akmal pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemuda UMNO mendesak kerajaan menghentikan serta-merta usaha penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc. melalui Global Infrastructure Partners (GIP) atas nama solidariti bersama rakyat Palestin.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, usaha tersebut bertentangan dengan pendirian Malaysia yang selama ini mendokong perjuangan Palestin menentang genosid di negara itu.

Selain itu katanya, tindakan tersebut akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat serta mempunyai simpati kepada agenda Zionis.

"Kita minta solidariti bukan hanya di peringkat antarabangsa, ia harus dibuktikan dalam negara ini.

"Justeru Pemuda UMNO memohon kerajaan agar penjualan 30 peratus saham kepada BlackRock Inc. dihentikan serta-merta," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO pada Jumaat.

Sebelum ini, GIP dalam kenyataan berkata, BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pentadbirannya tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel beroperasi di negara ini, namun bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan negara Zionis itu, tidak mempunyai keupayaan membatalkan kehadiran mereka kerana dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, isu sama ada BlackRock terlibat dalam perniagaan GIP bukan perkara asas perdebatan, tetapi pemilikan syarikat menjadi pertikaian.

Artikel Berkaitan:

"Keuntungan GIP akan memberi faedah kepada BalckRock yang menyokong genosid di Palestin.

"Ketetapan kita, mana-mana syarikat yang menyokong secara terang-terangan, tidak boleh terima sama sekali dan sejajar dengan prinsip di peringkat antarabangsa.

"Masih banyak syarikat yang berpotensi dan mempunyai kepakaran boleh bantu MAHB, saya tidak rasa kalau tiada BlackRock akan menyebabkan MAHB bankrup," ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada Pemuda UMNO meminta Menteri Kabinet terutama daripada parti itu membawa bantahan ke peringkat pimpinan kerajaan, beliau menjelaskan, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Dalam mesyuarat MKT sudah ada dinyatakan pandangan dan gesaan, tetapi di peringkat Pemuda UMNO, inilah ketetapannya.

"Kita berharap ketetapan ini dapat dirasai oleh setiap menteri dan pemimpin tidak kira di blok pembangkang atau kerajaan kerana ini bukan soal politik tetapi kemanusiaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!