Malaysia bakal bangunkan inisiatif kesihatan cegah, kawal kanser paru-paru

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada Kongres Kanser Kebangsaan 2024 di Universiti Sunway pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada Kongres Kanser Kebangsaan 2024 di Universiti Sunway pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia sedang berusaha membangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021 hingga 2025.

Beliau berkata, inisiatif ini membabitkan sektor awam, swasta dan ketiga yang berganding bahu untuk mencegah serta mengawal kanser paru-paru di Malaysia.

"Seperti yang diketahui ramai, kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling biasa di Malaysia di mana 95 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat akhir iaitu tahap ketiga atau keempat.

"Inisiatif ini juga akan memperkukuh kawalan penggunaan produk tembakau termasuk rokok elektrik yang menjadi risiko utama kanser paru-paru terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024 di Universiti Sunway di sini pada Jumaat.

Merujuk Laporan Globocan 2020 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dzulkefly berkata dianggarkan sejumlah 19.3 juta kes baharu kanser adalah dari segi kejadian, 9.9 juta kematian dan 50 juta orang menghidap kanser dalam tempoh lima tahun selepas didiagnosis.

Beliau berkata, Malaysia tidak terkecuali kerana jumlah kes kanser yang dilaporkan meningkat sebanyak 46.5 peratus bagi tempoh 2017 hingga 2021 berbanding 2012 hingga 2016. "NCCM 2024 adalah selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan kita bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 dengan menangani pencegahan dan kawalan kanser dari sudut pandangan yang holistik.

"Dengan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pakar serta pihak berkepentingan, kongres ini sudah pasti akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan strategi kawalan kanser kebangsaan kita," katanya.

ongres tiga hari itu, yang bermula hari ini dan berakhir 23 Jun depan, menawarkan platform khusus bagi perbincangan mendalam dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan penceramah antarabangsa yang terkenal, profesional penjagaan kesihatan, penggubal dasar serta penyelidik. - Bernama

Artikel Berkaitan: