Anwar serah lembaga disiplin tentukan nasib Zuraida
KUALA NERUS - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu masuk campur sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin PKR bagi menentukan nasib Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida dikatakan berdepan dengan proses penyingkiran setelah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR bertarikh 15 Januari itu.
Menurut Anwar, sebagai presiden, beliau tidak boleh memaksa lembaga disiplin untuk membuat apa-apa keputusan.
"Saya tidak tahu apa lagi (keputusan). Tunggu jawapan Zuraida dan saya pasti lembaga disiplin akan berikan keputusan yang terbaik kerana pelantikannya dibuat oleh kepimpinan.
"Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kasim terangkan dia telah tulis (surat kepada Zuraida) tapi tak diterangkan secara terperinci kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana itu bukan prosesnya. Prosesnya adalah proses lembaga disiplin.
"Kita serahkan kepada lembaga disiplin yang bertanggungjawab. Setakat ini dia jawab betul (terima surat) dan dia akan jawab kepada lembaga disiplin. Kita kena ikut proses dan saya tidak fikir pimpinan harus masuk campur," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida diberi 14 hari jelas surat tunjuk sebab: Saifuddin
Apa yang saya katakan adalah benar, kata Zuraida
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan 'International Conference on Social Islam 2020' bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini hari ini.
Ditanya tentang dakwaan yang menyatakan ia adalah tindakan terancang untuk menyingkirkan Zuraida, Anwar bagaimanapun berkata, ia hanyalah pandangan dan Zuraida perlu menjawab kepada lembaga disiplin.
"Kurang dua minggu kita akan tahu keputusan. Dia (Zuraida) kata akan berikan jawapan," jelasnya.
Mengulas mengenai 46 pemimpin PKR yang membidas tindakan terhadap Zuraida itu, Anwar berkata, sebilangan daripada mereka sudah pun dipecat.
Malah katanya, ada yang mendakwa namanya dimasukkan sedangkan beliau tidak menandatanganinya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Hentikan serta-merta tindakan disiplin terhadap Zuraida'
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bebas untuk berjumpa siapa sahaja termasuk dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Saya juga tiada masalah, saya boleh jumpa semua. Saya tidak ambil permusuhan dengan sesiapa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!