Pengurus syarikat petroleum rugi RM3.9 juta diperdaya pelaburan kripto

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengurus di sebuah syarikat petroleum mengalami kerugian RM3.9 juta selepas diperdaya pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.

Mangsa terjebak dengan skim tersebut melalui iklan di Facebook dan kumpulan WhatsApp, lalu membuka akaun dengan Baorui Exchange di AS, dan mengalami pelbagai penipuan wang.

Setelah menyedari penipuan tersebut, mangsa membuat laporan polis di Dungun.

es kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan polis sedang mencari suspek terlibat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki berusia 53 tahun itu tertarik dengan iklan mengenai dagangan pasaran saham menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) di laman Facebook sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata, mangsa terjebak dengan skim pelaburan berkenaan selepas menyertai kumpulan WhatsApp (Stocks Win A6) sebelum diperkenalkan dengan pelaburan mata wang kripto pada Mac tahun ini.

"Mangsa membuka akaun pelaburan dengan Baorui Exchange yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 16 Mac dengan permulaan sebanyak AS$1,500, sebelum dia diminta menambah deposit kepada AS$2,000 untuk memulakan transaksi urusan pelaburan.

"Pada 30 April, mangsa ingin mengeluarkan modal sebanyak AS$300,000 daripada Baorui Exchange tetapi disekat atas alasan platform pelaburan tersebut telah memasukkan akaunnya sebagai 'VIP Bronze User' dan dia perlu membayar tambahan AS$200,000 terlebih dahulu sebelum membuat pengeluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairi berkata, mangsa telah mendepositkan AS$110,000 pada 7 Mei selepas berunding untuk mengurangkan bayaran sebagai VIP Bronze User kerana jika ingin menarik diri, dia akan dikenakan denda AS$500,000.

"Seterusnya mangsa ditawarkan dengan keuntungan sekiranya membuat penambahan dana. Terperdaya dengan tawaran tersebut, mangsa terus membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan," katanya.

Pada 17 Jun, mangsa ingin mengeluarkan modal sebanyak AS$1 juta tetapi dimaklumkan yang akaunnya dalam siasatan berkaitan pengubahan wang haram oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dikehendaki membayar AS$542,000 sebelum 21 Jun bagi mengelakkan duitnya dibekukan.

"Mangsa telah menyedari bahawa ini adalah satu penipuan dan membuat laporan polis di daerah Dungun semalam. Jumlah kerugian adalah sebanyak RM3.9 juta," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek terlibat.

Mohd Khairi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa singkat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!