Lukisan remaja autisme dijual RM2,000 sekeping

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Minat untuk menjana pendapatan sendiri menerusi persembahan nyanyian dan lukisan merupakan antara pendorong semangat remaja autisme, Amira Daniea Saiful Amri, 19, untuk meningkatkan potensi kemahiran dalam bidang itu.

Ibunya, Dr Azlina Masdar, 50 berkata, Amira Daniea sebelum ini juga pernah menyertai pameran seni amal dan berjaya menjual hasil-hasil lukisannya kepada orang ramai dengan nilai RM400 hingga RM2,000 untuk setiap karya.

Amira Daniea
Amira Daniea

Menurut Azlina, kejayaan itu disifatkan sebagai membanggakan malah ia menunjukkan bahawa status Amira Daniea sebagai autisme tidak menjadi penghalang untuk mengasah bakatnya.

Ulasnya, sehingga kini anaknya masih menerima pelbagai jemputan sama ada untuk persembahan nyanyian atau pun pameran lukisan.

Amira Daniea (kanan) bersama ibunya, Dr Azlina di sebuah majlis pada tahun lalu.
Amira Daniea (kanan) bersama ibunya, Dr Azlina di sebuah majlis pada tahun lalu.

“Dalam sebulan, mungkin Daniea akan dapat satu jemputan termasuk persembahan nyanyian koir di bawah Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

“Selalunya jemputan kerap pada bulan Mac, April, Mei dan Jun kerana ketika itu ada sambutan sempena Bulan Kesedaran Autisme dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan bila dikatakan secara purata jika dicampur dengan jemputan untuk lukisan, insya-ALLAH memang ada (jemputan) setiap bulan sekurang-kurangnya satu kali,” katanya.

Amira Daniea (kiri) bergambar bersama ibunya, Azlina.
Amira Daniea (kiri) bergambar bersama ibunya, Azlina.

Selain itu, ujar Azlina yang juga Pakar Perunding Anestesiologi dan Pensyarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM) itu, galakan dan sokongan daripada pengunjung juga antara faktor yang memberi motivasi kepada Amira Daniea untuk hadir ke setiap jemputan yang diterimanya.

“Apabila Daniea berdiri di pentas dapat tepukan dan sorakan daripada penonton, dia lebih semangat untuk buat persembahan.

“Bila berniaga (jual lukisan), dia nampak transaksi (duit), dapat guna duit itu untuk membeli baju, mainan yang dia mahu. Jadi itu antara dorongan untuk dia.

“Pada saya kalau banyak penganjur sama ada syarikat, kerajaan atau universiti menjemput anak-anak istimewa ini, itu pendorong semangat untuk mereka,” ujarnya.

ANAK AUTISME BOLEH BEKERJA, BERJAYA SEPERTI INSAN LAIN

Sementara itu, di PETALING JAYA, pandangan masyarakat terhadap anak-anak autisme tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bersama-sama menikmati kehidupan normal seperti orang lain, malah ada yang sudah mula selesa bekerja di pelbagai sektor.

Bagi Hannah Mikhaela, 20, yang mempunyai pengalaman menyertai program mentor mentee di syarikat swasta terkemuka sebagai pereka grafik mula menyesuaikan diri untuk bergaul dengan orang ramai tanpa rasa ragu atau takut.

Hannah Mikhaela
Hannah Mikhaela

Menurutnya, walaupun pernah melalui episod duka ketika zaman persekolahan, dia tidak mahu terus hanyut dengan perasaan sedih itu, sebaliknya ingin membuktikan bahawa kekurangan sedia ada boleh diatasi dengan baik.

Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu, selepas menyertai Autism Cafe Project, dia lebih selesa menyerlahkan bakat memasak dan mencuba perkara baharu.

“Saya suka melukis dan hobi itu saya gunakan sebagai langkah pertama untuk membina karier walaupun ada kekurangan tetapi itu bukan penghalang utama.

“Menjadi anak-anak autisme bukan sesuatu yang mudah tetapi kami boleh berjaya seperti orang lain juga.

“Walaupun pernah jadi mangsa buli, dipulaukan masa sekolah dan dianggap pelik tetapi itu semua bukan sesuatu yang ingin saya ingat sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, menurut Adrian Cheong Kar Jun, 24, dia lebih yakin bercakap dan berkomunikasi dengan orang ramai sekali gus mengatasi masalah gagap yang dihadapi sebelum ini.

Tambahnya, selepas bekerja di bahagian dapur, dia bukan sahaja dapat menyesuaikan diri tetapi juga menambah kemahiran berbahasa Melayu dan Inggeris dengan lebih baik berbanding dahulu.

“Sebelum ini saya tidak yakin bercakap dengan orang ramai, tetapi selepas bekerja di sini saya rasa bertambah bagus. Masalah gagap yang saya hadapi pun tidak teruk jadi saya suka datang bekerja di sini.

“Selain boleh berbahasa Kantonis, saya juga mula bercakap bahasa Melayu dengan fasih. Ini semua sokongan daripada semua orang,” katanya.

BERJAYA LANJUT PENGAJIAN DIPLOMA KULINARI WALAUPUN SUKAR BERKOMUNIKASI

Dalam pada itu, kesukaran berkomunikasi dengan baik merupakan cabaran besar remaja autisme, Benjamin Mok Cui Jun, 20, belajar seperti rakan-rakan sebayanya yang lain.

Benjamin
Benjamin

Kini, Benjamin bukan sahaja berkemahiran dalam masakan, malah berjaya melanjutkan pengajian Diploma Seni Kulinari di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengasah kepakarannya dalam bidang tersebut.

Bapanya, Brian Mok Chong Keng, 47, berkata, usaha melanjutkan pengajian tersebut juga membolehkan Benjamin mempunyai sijil pengiktirafan untuk bekerja dalam profesion berkenaan sekali gus mengembangkan kerjayanya.

“Benjamin juga pernah jalani latihan praktikal sebagai tukang masak di sebuah hotel di Puchong. Latihan praktikal itu merupakan salah satu keperluan untuk IPTS tersebut.

“Ketika dia bekerja sebagai tukang masak, kena berdiri dan kerja 8 jam sehari dalam masa empat bulan, dia tidak pernah merungut. Dari situ memang nampak dia suka kerja.

“Bila dia sudah sambung diploma, sama ada dia mahu kerja atau masuk ijazah sarjana muda, kita sebagai keluarga akan sokong dia,” katanya.

Ujar Brian yang juga pengurus teknologi maklumat (IT), anaknya mula berminat belajar memasak seawal usia 11 tahun kerana suka kepada haiwan-haiwan laut.

“Selain haiwan laut, dia juga suka makan makanan pedas. Walaupun dia Cina, dia tidak masak makanan Cina di rumah, tetapi suka masak makanan Thai ataupun India.

“Kemudian dia mula menonton program memasak dan daripada situ dia belajar resipi memasak, tetapi dia suka masak makanan pedas atau makanan berat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!