Protes kenaikan cukai semakin memuncak

Beribu-ribu penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda turun ke jalan di seluruh Kenya pada 20 Jun 2024 untuk membantah kenaikan cukai oleh kerajaan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda turun ke jalan di seluruh Kenya pada 20 Jun 2024 untuk membantah kenaikan cukai oleh kerajaan.
A
A
A

NAIROBI - Ribuan penunjuk perasaan turun di jalanan bagi membantah cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai, yang dibimbangi rakyat akan menambah kos sara hidup mereka, selain meningkatkan harga barang keperluan asas seperti roti, lampin pakai buang dan lain-lain.

Malah, perkembangan terbaharu menyaksikan lebih 200 penunjuk perasaan ditangkap di ibu negara Kenya, Nairobi, dalam bantahan menentang rang undang-undang (RUU) kewangan baharu yang dikatakan pengkritik akan menyebabkan lebih banyak masalah ekonomi kepada rakyat biasa.

Dalam siri bantahan itu, pihak polis melepaskan gas pemedih mata sementara peniaga-peniaga diarah menutup perniagaan mereka bagi mengelak berlakunya kecurian.

Seorang penunjuk perasaan membuat simbol 'pangkah' sambil melaungkan slogan antikerajaan semasa tunjuk perasaan menentang cadangan kenaikan cukai di Nairobi.
Seorang penunjuk perasaan membuat simbol 'pangkah' sambil melaungkan slogan antikerajaan semasa tunjuk perasaan menentang cadangan kenaikan cukai di Nairobi.

Kumpulan masyarakat sivil berkata, demonstrasi dan rancangan untuk melakukan bantahan di luar bangunan Parlimen akan diteruskan walaupun seramai 210 penunjuk perasaan telah ditahan.

Sementara itu, pemimpin pembangkang Kenya Kalonzo Musyoka berkata, protes akan berterusan sekiranya RUU kewangan berkenaan diluluskan di Parlimen.

Ketua Polis Nairobi, Adamson Bungei berkata, tiada kumpulan diberikan kebenaran untuk melakukan bantahan di ibu negara itu.

Katanya, hak untuk memprotes secara aman dijamin dalam Perlembagaan Kenya tetapi penganjur tunjuk perasaan dikehendaki meminta kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Polis secara amnya memberi kebenaran terhadap tunjuk perasaan melainkan terdapat kebimbangan mengenai keselamatan.

Seorang peguam, Wanjohi Gachie berkata, beliau menyertai protes bagi pihak semua rakyat Kenya yang mungkin akan dibebani dengan kenaikan cukai.

“Saya meminta polis untuk tidak menangkap atau memukul kami kerana kami juga memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Beberapa cadangan cukai utama dalam rang undang-undang tersebut telah digugurkan selepas mesyuarat pada pagi Khamis antara wakil rakyat parti pemerintah dengan Presiden William Ruto.

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Kuria Kimani berkata, cadangan untuk memperkenalkan cukai nilai tambah 16 peratus ke atas roti telah digugurkan.

Levi lain yang telah mencetuskan perdebatan dan telah dipinda termasuk cadangan cukai tahunan kenderaan bermotor sebanyak 2.5 peratus yang akan dikenakan ke atas insurans. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!