Tunjuk bakat nyanyian dalam Busking Rock Kapak

Gambar kecil: Zamri
Gambar kecil: Zamri
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Rakyat Karangkraf membuka peluang kepada orang ramai yang berminat menyertai pertandingan Busking Rock Kapak.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM700 bagi juara manakala naib juara dan ketiga masing-masing RM500 dan RM300.

“Penyertaan adalah percuma, tiada had umur ditetapkan dan terbuka kepada warganegara Malaysia.

"Pada peringkat saringan, peserta perlu mengisi borang penyertaan melalui google form yang disediakan.

"Peserta perlu menyanyikan satu lagu rock kapak era 80-an dan awal 90-an serta tidak melebihi lima minit dengan video nyanyian berkenaan perlu dihantar melalui pautan google drive," katanya.

Zamri berkata, setiap kumpulan buskers yang bertanding juga harus tidak melebihi lima orang anggota dan perlu mendaftar sebelum tarikh akhir 15 Julai 2024.

“Persembahan juga tidak boleh mengandungi sebarang unsur negatif,” katanya.

Jelasnya, juri akan memilih 10 kumpulan terbaik yang akan berentap di pentas akhir Karnival Rakyat Karangkraf pada 28 Julai nanti.

Artikel Berkaitan:

“Kumpulan yang terpilih akan dihubungi penganjur pada 20 Julai untuk mengesahkan sama ada dapat bertanding pada pusingan akhir atau tidak.

"Semasa di pusingan akhir, peserta dikehendaki menyanyikan sebuah lagu yang disenaraikan penganjur.

“Kaedah pemilihan lagu adalah berdasarkan cabutan undian dengan peserta perlu membawa hand instrument sendiri dan dengan setiap persembahan tidak melebihi tujuh minit,” katanya,

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Riduan (0135535704) / Hafiz (0192221371) / Fazli (0192808492) untuk keterangan lanjut.

Karnival Rakyat Karangkraf bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Julai bertempat di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Ia dianjurkan sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian selain meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!