Kenderaan asing berkurang tak jejas stesen minyak di sempadan

Pengusaha stesen minyak mendakwa kehadiran kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand semakin berkurangan dengan ketara.
Pengusaha stesen minyak mendakwa kehadiran kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand semakin berkurangan dengan ketara.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kehadiran kenderaan asing mengisi diesel di stesen minyak berhampiran pintu sempadan negara di sini dilihat berkurang dengan ketara sejak penyasaran subsidi bahan api itu diumumkan 10 Jun lepas.

Tinjauan di beberapa stesen minyak yang terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati tidak banyak kenderaan bernombor pendaftaran Thailand yang mengisi diesel di stesen berkenaan.

Walaupun keadaan itu mungkin menyebabkan jualan menurun, beberapa pengusaha dan pekerja stesen minyak terbabit menyatakan kelegaan kerana ia dilihat dapat mengekang sebarang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel.

Pengusaha sebuah stesen minyak di Changlun, kira-kira lapan kilometer dari Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Mohamad Nekmat Ariffin, 41, berkata, kehadiran kenderaan asing di stesen minyaknya menurun selepas kerajaan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter.

Bagaimanapun, dia berkata, keadaan itu tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana 80 peratus jualan diesel dikhususkan kepada syarikat logistik yang telah menjadi pelanggan tetap bagi mendapatkan sumber bahan api itu.

"Hanya 20 peratus sahaja kuota diesel kami dijual kepada kenderaan persendirian atau komersial lain, termasuk kenderaan asing yang memang dihadkan sebanyak 20 liter sahaja bagi setiap belian.

"Dulu memang banyak kenderaan asing jenis pacuan empat roda isi diesel di sini tetapi sekarang hanya kenderaan penumpang seperti van sahaja, kehadiran mereka berkurang dengan ketara," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Pekerja sebuah stesen minyak di Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra, Muhammad Irfan Kamarulan, 22, pula berkata, jumlah kenderaan asing yang mengisi diesel di stesen minyak itu berkurang hingga lebih 50 peratus selepas penguatkuasaan harga baharu itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami menjual dua jenis diesel iaitu Euro 5 B10 dan Euro 5 B7. Dulu jualan bagi B10 dalam sehari kira-kira 8,000 liter tapi sekarang menurun kepada 5,000 ke 6,000 liter.

"Antara sebab penurunan ini ialah kenderaan asing semakin kurang isi minyak di sini, begitu juga bagi kenderaan tempatan yang berkurang mungkin sebab mereka sedang mohon Fleet Card Diesel," kongsinya.

Sementara itu, pengurus sebuah stesen minyak di Napoh kira-kira 18 kilometer dari pintu sempadan negara, Brian Yuen, 50, berkata, jualan diesel di stesen minyaknya berkurang hingga kira-kira 50 peratus selepas penyasaran subsidi bahan api itu.

"Memang ada sedikit penurunan jualan diesel tapi tidak menjadi masalah sebab di stesen minyak ini kami tumpu kepada jualan petrol. Untuk diesel kalau dulu boleh jual dalam 1,000 hingga 2,000 liter sehari tapi kini sudah turun ke beberapa ratus liter sahaja, memang sikit sebab saiz stesen kami pun kecil," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!