Lupakan karier, fokus bantu anak autisme berdikari

Autism Cafe Projek diwujudkan untuk melatih anak-anak autisme berdikari.
Autism Cafe Projek diwujudkan untuk melatih anak-anak autisme berdikari.
A
A
A

PETALING JAYA - Perjuangan dan pengorbanan membesarkan anak autisme bukan mudah, menyebabkan ada ibu bapa memilih untuk melupakan karier masing-masing untuk memberi fokus mengasah kemahiran insan terpilih itu agar boleh berdikari sama seperti orang lain.

Pengasas Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya, 61, berkata, bermula dengan menjual nasi lemak di tepi jalan pada tahun 2017, kini perniagaan makanan dan minuman yang diusahakan bersama isteri serta anak lelakinya, Muhammad Luqman Shariff, 25, selama tujuh tahun membuahkan hasil.

Mohd Adli Yahya
Mohd Adli Yahya

Muhammad Luqman Shariff yang merupakan anak kedua Mohd Adli disahkan menghidap low functioning autism.

Lima tahun lalu, bapa kepada enam anak itu mengasaskan Autism Cafe Project untuk melatih belia autistik berdikari dan membolehkan mereka memperoleh pendapatan.

Menurutnya, kini mereka sudah mempunyai produk jualan seperti biskut dan perniagaan katering yang mendapat banyak tempahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.

Tiga pekerja Autism Cafe Project menyiapkan tempahan biskut.
Tiga pekerja Autism Cafe Project menyiapkan tempahan biskut.

“Saya memulakan projek ini semasa Januari 2017 sebab masa anak lelaki saya Luqman sudah berusia 20-an dan saya terfikir macam mana dia nak teruskan kehidupan dengan keadaan begitu. Jadi saya mulakan perniagaan untuk melatih kemahiran dia.

Artikel Berkaitan:

“Sejujurnya saya tidak ada pengalaman langsung dalam perniagaan ini. Model perniagaan yang dibuat terpaksa ditukar sebab kita mahu anak-anak ini selesa dengan kerja mereka. Hasilnya sangat bagus dan mereka seronok bekerja.

“Setakat ini di tempat kami tidak ada yang mengamuk atau menyerang orang lain. Kita kena uruskan emosi mereka dengan baik terutama untuk bentuk kejayaan mereka. Kita beri tugas yang mereka suka dan sesuai mengikut latar belakang masing-masing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengulas lanjut, katanya walaupun menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk berjuang demi anak-anak autisme.

Tambahnya, berdasarkan pengalaman bekerja sebagai pegawai eksekutif bank antarabangsa, dia menggunakan semua kemahiran sedia ada untuk membantu perniagaan mereka kekal relevan.

Ujarnya, terdapat sebahagian kecil pekerja yang sudah mampu berniaga dan menghasilkan produk makanan sendiri sekali gus menyedarkan Mohd Adli bahawa usaha tersebut bukan hanya membantu Muhammad Luqman Shariff, tetapi anak-anak autisme lain.

Ulasnya, kini dia boleh berbangga mempunyai empat pekerja tetap dan 10 pekerja sambilan berusia 15 hingga 40 tahun selain mampu membantu mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Saya tidak kisah kalau orang lain nak berkata buruk. Tetapi melihat kejayaan anak-anak ini daripada tidak boleh bercakap kini sudah semakin pandai berkomunikasi dan boleh melakukan pekerjaan dengan baik buat saya rasa itulah kejayaan cukup indah.

“Kita dedahkan mereka dengan tempat baharu. Setiap kali ada majlis atau acara di luar mereka menjelaskan setiap produk dan menu dengan baik walaupun ada masa mereka lupa tetapi boleh bekerja dengan baik.

“Terdapat juga di kalangan mereka yang sudah mempunyai perniagaan dan pelanggan sendiri. Apabila mereka sudah mencapai tahap yang baik, saya akan beri mereka peluang untuk buat produk sendiri dan akan bantu jual kepada pelanggan.

“Perniagaan ini bukan untuk mendapatkan wang semata-mata tetapi saya mahu membina masa hadapan bersama mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!