Geng samun bersenjata menyamar polis tumpas

Senjata berbahaya dan peralatan polis yang dirampas hasil tangkapan ke atas tiga warga tempatan yang aktif melakukan jenayah samun dan menyamar sebagai polis. Foto: IPD Ipoh
Senjata berbahaya dan peralatan polis yang dirampas hasil tangkapan ke atas tiga warga tempatan yang aktif melakukan jenayah samun dan menyamar sebagai polis. Foto: IPD Ipoh
A
A
A

IPOH - Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata yang menyamar sebagai anggota polis selepas menahan tiga lelaki dalam satu pemeriksaan di Sungai Senam di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan suspek warga tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun itu dilakukan hasil maklumat awam yang mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki kumpulan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan sekitar jam 6.10 pagi ke atas suspek dan MPV jenis Perodua Alza itu mendapati, kesemua mereka memiliki senjata berbahaya dan peralatan polis secara tidak sah.

"Ujian saringan awal air kencing kesemua suspek menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Semakan juga mendapati, ketiga-tiga suspek mempunyai antara 15 hingga 10 rekod kesalahan jenayah termasuk dadah," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas semua suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta 89(A) Akta Polis 1967.

Pihaknya percaya, dengan tertangkapnya kumpulan terbabit, polis telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan menyamar sebagai pegawai polis di sekitar daerah ini.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak sewenangnya membeli sebarang jenis senjata berbahaya serta memiliki secara tidak sah peralatan yang dibekalkan kepada polis kerana boleh disabitkan dengan kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!