Arnautovic lengkapkan kemenangan Austria

Arnautovic Foto: Agensi
Arnautovic Foto: Agensi
A
A
A

AUSTRIA menghidupkan semula peluang mara ke pusingan 16 Euro 2024 selepas menang bergaya ke atas Poland, 3-1 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Olympiastadion Berlin.

Austria yang ditewaskan Perancis 0-1 di Dusseldorf Arena pada 18 Jun lalu hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Maximilian Wober, minit ke-38 kali ini tampil lebih matang berdepan Poland.

Pengendali Austria, Ralf Rangnick yang terkenal gaya tekanan tinggi bermula rentak positif apabila pemain pertahanan kelab liga Belanda, Feyenoord Rotterdam, Gernot Trauner meletakkan pasukan tersebut di depan minit kesembilan.

Poland yang tewas 1-2 kepada Belanda di Stadium Volksparkstadion pada 16 Jun lalu kembali garang apabila menyamakan kedudukan menerusi penyerang kelab liga Turkiye, İstanbul Basaksehir, Krzysztof Piatek minit ke-30.

Separuh masa kedua, jentera serangan Poland kendalian Michał Probierz mula meningkatkan tekanan bagi menyaingi rangkaian penyudah berprestasi tinggi Austria.

Khidmat penyerang sensasi Robert Lewandowski yang berkhidmat bersama kelab liga Sepanyol, Barcelona juga dimasukkan kesudahannya pada minit ke-60 menggantikan Piatek bagi menyalakan rangkaian penyudah Poland.

Biarpun begitu pemain tengah Austria, Christoph Baumgartner yang beraksi buat kelab liga Jerman, RB Leipzig tampil tenang mengembalikan kelebihan pasukannya dengan gol minit ke-66.

Gol itu menginspirasikan jentera serangan Austria menggandakan asakan kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti disempurnakan bintang kelab liga Itali, Inter Milan, Marko Arnautovic minit ke-78 bagi mengesahkan anak buah Rangnick keluar sebagai pemenang dari Berlin.

Artikel Berkaitan:

"Saya berkata kepada pemain-pemain Austria sebelum perlawanan bahawa pertarungan ini akan menjadi perlawanan penentu.

"Pasukan yang kalah akan keluar. Pasukan menang selepas ini segala-galanya nasib bergantung di tangan mereka.

" Sejak saya menjadi pengendali Austria, sejujurnya, ini adalah perlawanan paling penting. Itulah sebabnya saya sangat berpuas hati dengan segala dipersembahkan pemain-pemain Austria," ujar Rangnick.

Bagi Probierz pula berkata: "Kami melepaskan satu gol sejurus selepas dia (Lewandowski) masuk, situasi selepas itu berubah.

“Sebelum itu, kami tahu ini akan menjadi perlawanan yang sangat intensif dan memutuskan dengan pasukan perubatan bahawa Robert tidak akan bermula dalam kesebelasan utama.

"Kami berharap, selepas itu dapat menembusi pertahanan lawan pada separuh masa kedua namun berlaku sebaliknya,"

Sementara dalam satu lagi perlawanan, Perancis menentang Belanda berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium:Red Bull Arena, Leipzig

Perancis kendalian Didier Deschamps yang tanpa Kylian Mbappe dalam kesebelasan utama sebaliknya diletakkan di bangku simpanan berikutan kecederaan patah hidung kini berada dikedudukan kedua dengan empat mata manakala Belanda asuhan Ronald Koeman memimpin kumpulan.

Pada 26 Jun, Belanda akan berdepan Austria yang mengumpul tiga mata ketika ini di Stadium Olympiastadion Berlin manakala Perancis melayan Poland di Signal Iduna Park, Dortmund dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!