[VIDEO] Tak padan dengan patah tangan!

Lelaki patah tangan yang bertindak sebagai penjaga premis turut dicekup dalam operasi tersebut.
Lelaki patah tangan yang bertindak sebagai penjaga premis turut dicekup dalam operasi tersebut.
A
A
A

SUBANG JAYA - Tidak padan dengan tangan patah, seorang lelaki sanggup membelakangkan undang-undang menjadi penjaga premis yang menjalankan kegiatan tidak bermoral di premis komersil di USJ 21 di sini.

Dia antara yang dicekup bersama 14 wanita warga asing di dua rumah urut dalam operasi dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) semalam.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya menyerbu premis terbabit selepas menerima aduan orang ramai dan hasil risikan dijalankan.

Menurutnya, serbuan di rumah urut pertama mendapati terdapat lapan wanita warga asing bekerja di premis terbabit.

Katanya, perniagaan di premis terbabit dijalankan tanpa lesen sah daripada MPSJ.

“Serbuan kedua di sebuah lagi rumah urut beroperasi secara haram di kawasan sama mendapati terdapat enam wanita warga asing bekerja di situ yang dipercayai turut menjalankan kegiatan tidak bermoral.

“Ia berikutan kesukaran anggota penguatkuasa memecah masuk premis selain penemuan kondom di premis terbabit,” katanya operasi berkenaan disertai 38 anggota penguat kuasa dan pegawai MPSJ.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian tukang urut wanita warga asing yang dicekup dalam operasi terbabit.
Sebahagian tukang urut wanita warga asing yang dicekup dalam operasi terbabit.

Mohd Zulkurnain berkata, penjaga premis dipercayai mengiklankan wajah tukang urut wanita di premis terbabit kepada pelanggan yang berminat mendapatkan ‘khidmat’ menggunakan aplikasi WhatsApp.

Katanya, pelanggan akan membuat tempahan berdasarkan wajah tukang urut dipilih dengan bayaran sehingga RM200 bagi sekali perkhidmatan.

“Premis ini dikawal ketat dan hanya membenarkan pelanggan tetap memasukinya.

“Ketika serbuan, 14 tukang urut wanita masing-masing 10 warga Vietnam dan empat lagi warga Indonesia yang menggunakan visa pelancong untuk masuk ke negara ini berada dalam premis. Kesemua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zulkurnain berkata, pihaknya kini mengambil pendekatan memecahkan sekatan dinding premis yang didapati dibina tanpa kebenaran.

Menurutnya, ia berikutan pihaknya mendapati sekiranya hanya menyita premis, pengusaha akan menjalankan kembali operasi perniagaan selepas dikenakan tindakan.

“Pada operasi kali ini, kita bawa pegawai jabatan bangunan dan selepas pemeriksaan dilakukan mendapati sekatan dinding dibina tidak mendapat kebenaran MPSJ.

“Justeru tindakan perobohan binaan sekatan dinding dilaksanakan di kedua-dua premis,” katanya.

Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 dan Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!