4 nelayan hilang, bot dinaiki tenggelam di Tanjung Segenting
BATU PAHAT - Empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan terbalik dan tenggelam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Segenting dekat sini pagi Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, orang awam memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan tenggelam pada kedudukan sekitar 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting.
Menurutnya, bot nelayan itu dinaiki lima kru yang berumur antara 43 hingga 62 tahun dan merupakan rakyat tempatan yang telah keluar ke laut untuk memukat ikan.
"Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar telah menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.
"Sejurus menerima maklumat, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) pada jam 9 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Haniff berkata, salah seorang nelayan terbabit telah ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran.
"Ketika di lokasi, bot nelayan tersebut kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya. Seorang mangsa, Tan Siak Bin, 43, ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran.
"Mangsa seterusnya diserahkan kepada Bot Penggalang 30 untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail," katanya.
Jelas beliau, Op Carilamat bagi empat lagi nelayan yang masih belum ditemui diperluaskan dengan penambahan radius kawasan pencarian kepada 23 batu nautika persegi.
"Selain aset dari Maritim Malaysia, aset dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba danan Penyelamat Malaysia(JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut terlibat dalam operasi kali ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!