LRA Bukit Nanas henti tugas, proses pemulihan air giat dijalankan

Kawasan terlibat gangguan air susulan henti tugas LRA Bukit Nanas.
Kawasan terlibat gangguan air susulan henti tugas LRA Bukit Nanas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang giat menjalankan proses pemulihan air susulan insiden peningkatan warna dalam air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas pada Jumaat.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, bantuan alternatif telah digerakkan susulan henti tugas LRA Bukit Nanas yang menyebabkan gangguan air tidak berjadual di beberapa kawasan Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi.

"Sehingga jam 8 pagi ini, proses pemulihan parameter kualiti air sedang giat dijalankan untuk menepati piawaian kualiti air yang ditetapkan.

"Bantuan alternatif melalui lori tangki telah digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal," kata kenyataan di Facebook Air Selangor pada Sabtu.

Pada Jumaat, Air Selangor memaklumkan, insiden itu menyebabkan sebahagian kawasan di wilayah Kuala Lumpur sedang mengalami gangguan bekalan air sejak jam 7.30 malam.

Pihaknya masih sedang menyiasat punca insiden tersebut.

Air Selangor berkata, pihaknya sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan semasa status pemulihan boleh dirujuk di https://waterupdates.airselangor.com/ selain aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!