JKNT nafi 16 kes kencing tikus di Air Terjun Menderu

KNT nafi dakwaan mengenai 16 kes jangkitan kencing tikus yang dikaitkan dengan aktiviti mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman. Foto hiasan
KNT nafi dakwaan mengenai 16 kes jangkitan kencing tikus yang dikaitkan dengan aktiviti mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman. Foto hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan berita yang tular menerusi laman sosial mengenai 16 kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus yang dikaitkan dengan aktiviti mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bagaimanapun pihaknya mengesahkan hanya dua kes disyaki leptospirosis yang dilaporkan mempunyai sejarah mengunjungi kawasan rekreasi tersebut pada tahun 2024.

Selain itu, katanya, tiada kes leptospirosis yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kawasan rekreasi Air Terjun Menderu, Kemaman pada tahun 2023.

"Notifikasi bagi kes pertama disyaki leptospirosis diterima pada 27 Mei lepas.

"Namun ujian pengesahan leptospirosis yang dijalankan adalah negatif, manakala notifikasi kes kedua diterima pada 20 Jun lepas.

"Sampel darah kes untuk ujian pengesahan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Perol, Kelantan dan masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan leptospirosis selain meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan ketika melakukan aktiviti di mana-mana kawasan rekreasi bagi mengelakkan jangkitan penyakit leptospirosis.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk memastikan kebersihan persekitaran ketika melakukan aktiviti rekreasi, tidak minum air dari sungai dan memilih makanan serta minuman dari sumber yang bersih.

"Orang ramai juga perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya bergejala setelah mengunjungi mana-mana pusat rekreasi," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!