Cuaca baik iringi proses penamaan calon PRK Sungai Bakap
NIBONG TEBAL - Cuaca baik pada sebelah pagi mengiringi perarakan penyokong calon bertanding ke Dewan Serbaguna Jawi di sini yang menjadi pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu.
Para penyokong yang sebahagiannya membawa sepanduk dan memalukan gendang mengiringi calon dilihat mula berkumpul di pusat penamaan calon itu sejak jam 8 pagi.
Calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin terlebih dahulu tiba di perkarangan dewan itu pada 8.45 pagi diiringi beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Laungan ‘Perpaduan’ dari penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) memeriahkan suasana proses penamaan calon itu.
Di sudut lain pula, perarakan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail turut meriah dengan beliau diringi Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kedua-dua calon kemudian memasuki pusat penamaan calon selepas dibuka pada jam 9 pagi tadi untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pusat penamaan calon ditutup jam 10 pagi
Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ditutup jam 10 pagi ini selepas sejam dibuka bermula jam 9 pagi tadi.
Pengumuman itu dibuat Penolong Pengurus Pilihan Raya, Syamsul Fitry Ahmad di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.
Terdahulu, penyokong calon yang bertanding mula berkumpul di sekitar dewan berkenaan seawal jam 7 pagi dan cuaca baik ketika proses penamaan berlangsung.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.- Bernama
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!