PRK Sungai Bakap: Calon PH tiba awal, tak dibenarkan masuk dewan
NIBONG TEBAL - Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dihalang masuk ke Dewan Serbaguna Jawi di sini untuk menyerahkan borang pencalonan oleh salah seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau dihalang kerana tiba di hadapan pintu dewan terlalu awal iaitu pada jam 8.45 pagi sedangkan proses penyerahan borang pencalonan hanya dibuka pada jam 9 pagi.
"Calon tidak dibenarkan masuk lagi, minta maaf.
"Sekarang baru jam 8.45 pagi, jam 9 pagi baru boleh masuk. Sila tunggu di khemah yang disediakan dahulu," kata petugas tersebut.
Dr Joohari akur dengan arahan tersebut dan telah beredar lalu ke khemah yang disediakan di pekarangan dewan.
Sebelum itu, Dr Joohari dan penyokongnya berkumpul di hadapan Pejabat UMNO Nibong Tebal di sini sebelum bergerak ke Astaka Medan Selera Jawi dan berarak ke Dewan Serbaguna Jawi.
Beliau diiringi lebih 1,000 penyokong serta beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ashraf Wajidi Dusuki.
Selain itu, Dr Joohari juga ditemani Pengerusi DAP, Lim Guan Eng Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sebelum ini, Dr Joohari yang juga Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan sebagai calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Dr Joohari yang juga bekas guru berusia 60 tahun dan merupakan anak jati Sungai Bakap.
Beliau menjawat jawatan Pengarah IAB Cawangan Utara di Jitra, Kedah sejak April 2018 hingga 1 September 2023.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
@sinarharianonline Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang membuka tirainya hari ini dan berikut biodata calon-calon yang bertanding. Jom kenali calon-calon anda sebelum membuang undi pada 6 Julai nanti. #SinarHarian #SinarTerkini #PRKSungaiBakap #PilihanRayaKecil #PN #PH #PulauPinang #fyp
Epic Music(863502) - Draganov89
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!