'Pengadil buat silap' - Koeman

Reaksi pemain Belanda, Xavi Simons (dua dari kiri) selepas golnya dibatalkan. FOTO: AFP
Reaksi pemain Belanda, Xavi Simons (dua dari kiri) selepas golnya dibatalkan. FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman berkata, pengadil telah membuat kesilapan apabila membatalkan jaringan pasukannya ketika menentang Perancis pada aksi Kumpulan D Euro 2024.

Rembatan separuh masa kedua daripada Xavi Simons telah dibatalkan kerana Denzel Dumfries dalam kedudukan ofsaid di sebelah penjaga gol Mike Maignan dan keputusan itu akhirnya disahkan oleh VAR selepas proses penelitian yang lama.

Tetapi, Koeman berkata dia telah melihat imej insiden itu dan sangat tidak bersetuju dengan pengadil dari England, Anthony Taylor.

“Kedudukan Dumfries adalah ofsaid, itu benar. Tetapi dia tidak mengganggu penjaga gol. Dan apabila itu tidak berlaku maka gol itu adalah sah.

“Adakah mereka memerlukan lima minit untuk menyemaknya kerana ia sangat sukar? Saya tidak faham. Dia tidak mengganggu penjaga gol,” katanya.

Namun, Koeman tetap menggangap satu mata yang diraih oleh kedua-dua pasukan itu sebagai satu keputusan yang memuaskan.

Keputusan itu memastikan kedua-dua pasukan memperoleh empat mata selepas dua perlawanan dan hampir pasti akan mara ke peringkat kalah mati

“Walaupun saya fikir gol itu sepatutnya kekal, saya melihat ia adalah keputusan yang adil.

Artikel Berkaitan:

“Saya boleh terima ini, walaupun ada kalanya kami tidak bersemangat dalam perlawanan itu dan itu mungkin disebabkan fakta bahawa kami menentang lawan yang hebat di Perancis.

“Tetapi kami mempunyai empat mata daripada dua perlawanan dan menentang pasukan pilihan. Saya akan bersetuju dengan itu sebelum perlawanan. Saya gembira, saya tidak tahu tentang kamu," soalnya kepada pemberita.

"Mungkin kamu akan kata Belanda membosankan dan defensif, dan itu dibenarkan. Tetapi saya rasa Perancis juga gembira meninggalkan padang dengan satu mata," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!