IMD: Kejatuhan bukan faktor jangka pendek, prestasi ekonomi tahunan - Pakar ekonomi
SHAH ALAM - Kejatuhan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024 bukan faktor jangka pendek tetapi disebabkan kerana seluruh negara tidak bertindak dengan penuh komitmen untuk menghasilkan perubahan.
Pakar ekonomi, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ia adalah kelemahan yang perlu diakui semua pihak dengan tidak meletakkan semua tanggungjawab atas bahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan hari ini.
Justeru menurutnya, kerajaan tidak perlu menolak kesimpulan laporan indeks daya saing yang merisaukan ini kerana ia boleh diperbaiki sekiranya semua pihak bertanggungjawab.
"Bukan masa untuk kita mencari salah siapa. Ia terjadi begini bukan kerana faktor jangka pendek. Bukan kerana suasana ekonomi tahun lepas. Bukan kerana kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat. Bukan kerana ketegangan geo-politik Ukraine-Rusia atau US-China. Bukan kerana permintaan global produk berteknologi tinggi yang rendah.
"Betul, saya setuju, jangan panik, bukan segalanya ditentukan oleh laporan daya saing IMD ini. Malah laporan daya saing dan daya inovasi lain yang disebut YB Menteri juga hakikatnya menyimpul status tren menurun yang sama. Jangan panik, namun kita mesti risau.
"Ini ‘peluang’ untuk kita, kerajaan, industri, dan rakyat bertindak bersama memperbetulkan apa yang salah atau mengukuhkan apa yang lemah. Termasuklah bebanan subsidi bahan api yang tidak mampan, menggugat kedudukan fiskal negara. Jangan tolak kelemahan dan kesilapan kita. Lagi lama kita asyik menolak, lagi buruk mungkin jadinya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau mengulas penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa penurunan kedudukan Malaysia di tangga ke-34 dalam senarai WRC IMD 2024 disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit tahun lepas.
Tengku Zafrul berkata, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara dari tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada tahun 2023 untuk mengukur daya saing negara.
Noor Azlan bagaimanapun mendakwa penjelasan zafrul tidak tepat kerana daya saing bukan bayangan prestasi ekonomi tahunan seperti eksport dan nilai matawang.
"Ia bukan laporan prestasi ekonomi tahunan. Salah kalau mengaitkan daya saing dengan suasana ekonomi tahunan.
"Sebahagian besar faktor yang dinilai adalah merujuk kepada elemen-elemen struktur termasuk percukaian, produktiviti dan kecekapan, peraturan perniagaan, pasaran buruh, sikap dan nilai, institusi, infrastruktur, pendidikan dan beberapa lagi,"katanya.
Tambah beliau lagi, tindakan mengukuhkan daya saing memerlukan keputusan yang kukuh dan komitmen yang bersungguh kerana besar kemungkinan ia akan mengambil masa.
"Ekonomi Madani mensasarkan daya saing Malaysia meningkat ke tangga ke 12 bersamaan dengan pencapaian kita 10 tahun yang lalu (2014). Daripada 20 sub-petunjuk, hanya tiga yang bertahan. Selebihnya telah jatuh jauh ke bawah.
"Faktor-faktor yang dinilai membayangkan ‘kualiti’ persekitaran ekonomi dan perniagaan Malaysia. Sejauh mana Malaysia mampu menjadi sebuah destinasi pelaburan yang baik, yang merangsang kejayaan pelaburan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!