Tiada kelulusan permohonan pengeluaran hasil tanaman di Kampung Kawah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - Pihak Berkuasa Negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan ke atas permohonan pengeluaran hasil tanaman di tanah milik kerajaan yang dijalankan Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) di kawasan Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan menjelaskan, terdapat beberapa permohonan di atas tanah berkenaan, namun ia masih dalam proses dan belum mendapat sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Menurutnya, kenyataan PPNP bahawa 'wujud dokumen urusan dengan kerajaan negeri melalui PDT Kuantan' tidak bermakna pertubuhan itu boleh mengusaha tanah tersebut.

"Mereka (PPNP) juga tertakluk kepada Kanun Tanah Negara bagi mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri sebelum mengusahakan mana-mana tanah kerajaan.

"Justeru PPNP telah melakukan pencerobohan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan," jelas PDT Kuantan melalui kenyataan pada Sabtu.

PPNP dalam kenyataannya sebelum ini menyangkal tuduhan dua ahlinya ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) atas tuduhan meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri itu.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab Kadir sebaliknya mengesahkan bahawa memang wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui PDT Kuantan berkaitan permohonan pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah kerajaan yang diceroboh.

Sementara itu, PDT Kuantan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada Penghulu Mukim Ulu Kuantan mengenai pencerobohan tanah kerajaan yang dilakukan pertubuhan itu di Kampung Kawah, Sungai Lembing di sini pada 6 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan aduan tersebut, pasukan penguat kuasa PDT Kuantan telah menjalankan siasatan awal di tapak dan mendapati terdapat satu bangunan pondok pengawal keselamatan dibina di atas tanah itu tanpa sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

"Selain itu, terdapat juga binaan pagar palang besi dipercayai dibina oleh pihak PPNP," katanya.

Jelasnya, hasil siasatan awal itu, PDT Kuantan telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana menduduki tanah kerajaan secara tidak sah kepada pihak terbabit 7 Jun lalu.

"Notis tersebut antara lain mengarahkan pihak PPNP mencabut dan merobohkan binaan yang dibina dalam tempoh 14 hari dan meninggalkan kawasan tersebut.

"Bagaimanapun PDT Kuantan dimaklumkan seorang pegawai daripada PPNP telah membuat laporan polis pada 12 Jun lalu di Balai Polis Panching di sini mendakwa menerima arahan daripada PDT Kuantan supaya mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang terdapat dalam kawasan tersebut.

"PDT Kuantan menafikan dakwaan itu kerana arahan yang dikeluarkan hanyalah untuk mencabut, merobohkan dan memusnahkan segala binaan yang dibina oleh pihak PPNP sahaja.

"Justeru satu laporan polis telah dibuat pada 20 Jun lalu mengenai penafian tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!