Menyamar pegawai NSRC, PDRM buka 60 kertas siasatan

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 60 kertas siasatan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kertas siasatan yang direkodkan sehingga 15 Jun itu melibatkan nilai kerugian RM7.66 juta dan ia bukan satu nilai yang kecil.

Beliau berkata, orang ramai diminta untuk tidak mempercayai tindakan penyamaran pihak scammer menerusi panggilan daripada pihak NSRC.

"Untuk kesekian kalinya, saya maklumkan bahawa NSRC sama sekali tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

"NSRC adalah pusat panggilan yang berbentuk komunikasi sehala iaitu hanya menerima panggilan daripada orang ramai.

"Oleh itu, sebarang panggilan yang diterima mendakwa kononnya daripada NSRC, ia sebenarnya adalah satu penipuan," katanya pada Sabtu.

Bagi kes terbaharu, Ramli berkata, seorang warga emas berusia 70 tahun di Johor menjadi mangsa penipuan penyamaran sebagai pegawai NSRC.

Kata beliau, dalam kejadian yang berlaku pada Rabu itu, warga emas tersebut mengalami kerugian RM584,000.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang katanya, siasatan yang dijalankan mendedahkan wang sebanyak RM584,000 yang telah ditipu itu adalah wang hasil simpanan sepanjang hayat mangsa selama bekerja sebagai kerani di sebuah kilang.

Tegas beliau, kerugian yang dialami oleh mangsa kemungkinan besar boleh dielakkan, seandainya mangsa tahu mengenai modus operandi penipuan kumpulan scammer apabila melibatkan pihak NSRC.

"Saya menyeru kepada pihak media dan masyarakat di luar sana untuk terus menyebarkan mesej ini tanpa jemu kerana saya percaya, masih ada individu yang tidak sedar berkenaan perkara atau modus operandi seumpama ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!